KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) Thunder meneruskan rentak cemerlang dalam aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila menundukkan Kelantan Warriors 21-17, 12-21, 21-15 di Stadium Titiwangsa, dekat sini sebentar tadi.
Pertembungan yang sengit itu menyaksikan dua tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak saling membalas serangan menerusi sepakan servis yang kencang.
Syahir yang dibantu rakan sepasukan, Azlan Alias dan Amirul Zazwan berjaya menjinakkan Kelantan Warriors pada malam ini biarpun dipaksa berhempas pulas sehingga di set penentuan.
Ketika ini, KL Thunder menduduki tangga ketiga liga dengan mencatat lima kemenangan dan dua kekalahan selepas mengharungi tujuh perlawanan musim ini. – UTUSAN ONLINE