PUTRAJAYA: Episod suka dan duka sepanjang 2021 memberi satu pengajaran, pengalaman berharga dan peluang menilai kesiapsiagaan negara dalam merencana strategi untuk mengimbangi antara kepentingan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ia menjadi cerminan kepada keberkesanan dasar, kelancaran pelaksanaan operasi, kesefahaman dan kesatuan jiwa jentera kerajaan dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang.
Kata beliau, tahun 2022 bakal menjanjikan sekali lagi sinar harapan yang gemilang buat semua dan memperbaiki apa jua kelemahan serta kekurangan yang ada.
“Saya menyeru kepada semua anggota perkhidmatan awam untuk sentiasa proaktif dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat dan negara.
“Kerjasama kukuh, kesefahaman jitu dan sokongan rentas agensi dengan mengetepikan kepentingan individu serta ego adalah ramuan utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya dalam ucapan amanat tahun baharu 2022, hari ini.
Mohd. Zuki berkata, walaupun negara mungkin belum berjaya sepenuhnya dan tidak sempurna, namun beliau mengharapkan anggota perkhidmatan awam sentiasa teguh dalam menggalas amanah dan tanggungjawab demi negara.
Mengimbau cabaran tahun 2021, beliau berkata, usaha memerangi penularan wabak Covid-19 yang berterusan sejak 2020 sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Katanya, ia memberikan kesan ekonomi dan sosial yang sedikit sebanyak mengganggu perancangan serta pembangunan negara.
Namun, kata beliau, berkat kesepakatan dalam sinergi mantap untuk mengimbangi antara kepentingan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat, Pelan Pemulihan Ekonomi komprehensif dan inklusif dilaksanakan merangkumi lapan pakej rangsangan berjumlah lebih RM530 bilion bagi membantu kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.
“Begitu juga dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada vaksinasi bagi usaha menjamin keselamatan diri rakyat dari penularan berterusan wabak Covid-19 dalam negara.
“Seterusnya kita menyaksikan sekali lagi peralihan kepimpinan negara dalam penggal sama secara tertib dan teratur penuh berhemah mengikut lunas undang-undang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Seterusnya, kata beliau, hala tuju negara untuk tahun 2022 dirangka dan pelan jangka panjang nasional menerusi pembentangan Bajet 2022 serta pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 direncanakan.
Di akhir tahun lalu pula, katanya, negara diuji dengan musibah banjir di beberapa negeri secara serentak termasuk di Lembah Klang yang tidak pernah dihadapi sejak sekian lama.
“Marilah sama-sama mendoakan agar negara kita terus maju ke hadapan dalam apa jua cabaran yang ditempuhi dan perancangan yang bakal dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE