Kes jual sijil vaksinasi dikesan di Kedah - Utusan Malaysia

Kes jual sijil vaksinasi dikesan di Kedah

KERATAN laporan Utusan Online berhubung kes sijil vaksin palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kes penjualan sijil vaksinasi palsu membabitkan beberapa doktor kini dikesan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, perkara itu sedang dalam siasatan polis dan enggan mendedahkan butirannya secara terperinci.

“Jumlahnya tidaklah terlalu banyak tetapi kes ini tetap disiasat polis serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah. Sama ada pusat kesihatan swasta atau kerajaan yang terlibat, itu pun saya tak boleh dedahkan.

“Sama ada kes ini ada kaitan dengan urusan pembelian sijil vaksinasi palsu di Terengganu sebelum ini pun kita sedang siasat juga,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini  hari ini.

Sementara itu katanya, jumlah pelajar yang positif Covid-19 di Maktab Mahmud Pendang hari ini meningkat kepada 106 orang.

“Seramai 73 daripada mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra dan 16 di PKRC Kulim serta 17 lagi di rumah masing-masing.

“Kesemua yang positif tidak akan dibenarkan tinggal di asrama. Setakat ini, jangkitan hanya membabitkan pelajar dan tidak melibatkan guru,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kes di negeri ini terutamanya melibatkan kluster pendidikan.

“Jika ada dalam kalangan pelajar mengalami gejala, saya harap ibu bapa tidak menghantar mereka ke sekolah atau asrama.

“Selain itu, semua pihak diharap terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak mengambil mudah akan perkara tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya