KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan bentuk kerjasama dengan parti-parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, buat masa ini rundingan masih dilakukan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Rundingan tentang agihan kerusi kini dijalankan secara intensif supaya dapat diselesaikan sebelum Tahun Baharu Cina.
“Minggu ini kita akan bincangkan lagi adakah mereka (parti lain) mahu bertanding sendiri atau bersama PH,” katanya dalam sidang akhbar selepas Ceramah Isu Semasa – Kerajaan Lemah Tiada Integriti di sini malam tadi.
Khamis lalu, PH bersetuju memberikan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kepada Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala baki 16 kerusi lagi milik DAP, bagaimanapun, ruang perbincangan bersama mana-mana parti lain dibuka bagi meningkatkan lagi peluang kemenangan kepada pembangkang.
Sementara itu, Mohamad berkata, PH belum membincangkan soal calon Menteri Besar Johor walaupun timbul khabar angin kononnya Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik bakal dilantik sekiranya pembangkang menang dalam PRN berkenaan.
“Belum dibincangkan lagi. Saya tidak bertanding di DUN Johor, kalau tidak saya lah calon (Menteri Besar),” katanya. – UTUSAN