KANGAR: Padah memiliki gambar, video dan fail berformat PDF lucah dalam telefon bimbit, seorang kerani syarikat jualan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Kamaliza Md. Zain menjatuhi hukuman tersebut terhadap Asyraf Hafizuddin Abdul Jalil, 26, selepas mengaku bersalah semasa sebutan kes.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang sudah berkahwin tersebut didakwa memiliki 80 gambar lucah, 163 video lucah dan satu fail berformat PDF lucah dalam telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A50.
Kesalahan tersebut dilakukan di Taman Jelempok Jaya, Kampung Utan Kandis, Arau kira-kira pukul 11.30 pagi pada 31 Mac tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Asyraf Hafizuddin yang tidak diwakili peguam merayu denda yang minimum kerana ini adalah kesalahan pertama selain memohon maaf atas kesilapan itu dan telah insaf serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Lelaki tersebut memberitahu, dia baru sahaja berkahwin dan kini tinggal bersama ibu bapa mentua yang tidak bekerja yang bergantung hidup padanya yang berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Fazril Sani Mohamed Fadzil memohon mahkamah mengenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Setelah mendengar kedua-dua hujah, Kamaliza mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhi hukuman denda RM4,500 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Terduduh kemudiannya membayar denda dan dilepaskan.