Kerajaan Negeri Sembilan adakan semula taklimat situasi Covid-19

Kerajaan Negeri Sembilan adakan semula taklimat situasi Covid-19

AMINUDDIN Harun melawat pameran sempena Program Modal Insan Anak Seremban (Promise) di Bandar Sri Sendayan, Seremban, semalam.- FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Berikutan terdapat peningkatan kes jangkitan Covid-19, kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan semula taklimat situasi semasa Covid-19 di negeri ini mulai minggu hadapan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebelum ini pihaknya telah menyerahkan taklimat berkenaan ke peringkat daerah namun ia akan diadakan semula di peringkat negeri. 

“Kerajaan negeri akan mengadakan taklimat situasi semasa Covid-19 mulai minggu hadapan yang akan diadakan dua minggu sekali. Di dalam taklimat itu ia akan membincangkan perkembangan Covid-19 dari semasa ke semasa. 

“Saya sedia maklum masyarakat kini dilihat mula tidak mengutamakan isu berkaitan Covid-19 dan selepas banjir, ada segelintir rakyat mengambil remeh isu tersebut sehinggakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Modal Insan Anak Seremban (Promise) di Bandar Sri Sendayan, semalam

Setakat pukul 12 tengah hari semalam terdapat 218 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negeri ini dengan penambahan dua kluster baharu iaitu Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau dan Kluster Tembok Jelebu 2 di Jelebu.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyeru supaya rakyat di negeri ini mematuhi SOP sebagai persediaan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang bakal tiba.

“Mulai sekarang masyarakat di negeri ini perlu mengikut SOP yang ditetapkan sebagai persediaan menyambut hari raya pada tahun ini.  Saya juga mendapat tahu ada segelintir rakyat yang mula tidak mengendahkan penjarakan sosial dan sekiranya ingkar, kes akan terus meningkat,” katanya. 

Sementara itu, katanya, seramai 215 orang peserta yang menyertai program Promise akan ditempatkan di sektor atau industri mengikut bidang latihan yang diambil. 

“Peserta yang terlibat adalah dalam kalangan asnaf dan keluarga B40 melalui data e-Kasih. Pejabat Daerah dan Tanah Seremban akan membiayai peserta terlibat dan memberi tunjuk ajar dalam latihan kemahiran seperti bidang kecantikan, persolekan,  makanan, minyak dan gas serta elektrikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya