SEGAMAT: Kerajaan negeri akan memberikan bantuan wang tunai kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di negeri ini sebagai tambahan bagi mereka mengharungi bencana itu yang kini sudah mencecah lebih 4,000 mangsa.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, bantuan RM500 bagi setiap keluarga itu akan dicadangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada Rabu ini untuk disalurkan segera kepada mangsa banjir.
“Di peringkat Persekutuan, kerajaan memberikan bantuan RM1,000 kepada ketua setiap isi rumah yang terjejas banjir serta RM10,000 bagi kematian akibat bencana itu dan di Johor kita akan cadang supaya kerajaan negeri tambah RM500 kepada setiap keluarga.
“Saya akan bawa ke mesyuarat Exco pada Rabu ini dan kita turut akan berbincang untuk bantuan tambahan juga kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana itu,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat keadaan banjir di daerah ini serta singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang, di sini.
Menurut Hasni, beliau setakat ini amat berpuas hati dengan kerjasama dan koordinasi antara jabatan, agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan awal dan penyampaian sumbangan kepada mangsa-mangsa.
“Peranan semua pihak amat kerajaan negeri alu-alukan dan terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan, setakat ini agensi-agensi khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain memainkan peranan penting di kesemua PPS di Johor yang melibatkan enam daerah.
“Apa yang penting kita pastikan supaya arahan yang diturunkan dan koordinasi agensi dapat dipermudahkan dan bantuan kepada mangsa tepat pada masanya. Malah, peranan dan tumpuan yang saya beri di Johor adalah kita memudah cara segala bentuk bantuan diberi pelbagai agensi,” katanya.
Setakat pukul 4 petang ini, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila mencatatkan 4,395 mangsa daripada 1,177 keluarga yang berlindung di 72 PPS di Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Johor Bahru dan Batu Pahat.
Sebanyak 11 lagi PPS baharu dibuka hari ini bagi menempatkan lebih ramai mangsa yang terpaksa mengosongkan kediaman mereka setelah dinaiki air akibat hujan lebat sejak Jumaat lalu. -UTUSAN ONLINE