Kenapa perlu berpura-pura? - Mimifly - Utusan Malaysia

Kenapa perlu berpura-pura? – Mimifly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Agak lama saya me­nyim­pan hasrat untuk menampilkan penyanyi ini sebagai penghias sampul hadapan Pancaindera. Hanya kali ini, keinginan itu berjaya saya penuhi.

Genap 13 tahun menghambakan diri dalam industri, wanita yang kita kenali sebagai Mimifly ini tetap teguh bergelar anak seni.

Ketabahannya mengharungi keperitan hidup sebagai selebriti menarik minat saya untuk menyelami sedalam-dalamnya perasaan wanita ini.

Sering menjadi mangsa kecaman, Mimi seakan merelakan dirinya dijadikan sasaran. Hanya kerana berpenampilan seksi, dia dihukum. Adakalanya, tohmahan yang dilemparkan mencucuk bak lembing yang tajam.

Namun dia kekal tenang. Baginya sudah menjadi satu kebiasaan. Ditujah dengan makian yang datang bertubi-tubi.

“Saya sedar. Orang selalu kritik cara saya berpakaian. Bagi mereka, ia adalah satu masalah.

“Saya sudah biasa. Sampai tahap, orang bercakap baik pun okay, buruk pun okay. Kau puji aku atau kutuk aku, dua-dua okay.

“Itu tidak mengganggu. Mala­han, saya tekankan. Kata-kata orang tak memberi kesan. Saya tak menagih persetujuan sesiapa pun,” katanya.

Bagi Mimi, biarlah orang bercakap buruk perihal dirinya. Asalkan dia kekal menjadi diri sendiri. Tak perlu hidup dalam kepura-puraan.

“Saya tak kisah orang nak kecam. Mereka tak kenal saya. Kenapa saya perlu jadi plastik, fake? Saya mahu jadi diri sendiri.

“Saya pernah (berpura-pura), menjadi bukan saya untuk puaskan hati orang.

“Balik rumah saya menangis. Kerana tak dapat menjadi diri sendiri. Itu pada saya, mem­ba­hayakan. Lebih-lebih lagi terhadap kesihatan mental saya,” luahnya.

Tegas Mimi, kecaman orang tak perlu disimpan. Buang sahaja jauh-jauh. Dia perlu bergerak ke depan, demi membahagiakan hati dan perasaan.

“Dalam hidup, saya ada matla­mat. Jadi, saya cuma mahu fokus pada itu. Saya masih belajar tentang kehidupan. Yang penting, ketenangan dalaman itu telahpun saya miliki.

“Saya manusia biasa. Hidup seperti orang lain. Ada jatuh bangun. Saya berupaya rawat diri sendiri, dari segala kesedihan yang menghimpit selama ini.

“Sekarang, saya nak tolong orang lain, yang berdepan situasi yang saya alami. Dengan cara itu, saya rasa gembira dan berpuas hati,” ujarnya.

“Dulu, saya tak bahagia”

Kegagalan perkahwinan bersama bekas suami, Mohd.Firdaus Hajar sekitar empat tahun lalu menjadi ketentuan yang perlu diterima seorang Mimifly.

Akuinya, sepanjang perkahwinan itu, kebahagiaan tidak dia miliki. Namun tegasnya, tiada siapa yang harus dipersalahkan. Titik pengakhiran itu atas kerelaan diri.

“Bekas suami tak pernah cuba mengubah diri saya. Itu sebabnya saya mengahwini dia. Tetapi, dia tetap manusia biasa.

“Apa-apa pun, dia tak bersalah dan saya tak pernah mengaibkannya. Dia hanya menjadi dirinya sendiri. Melakukan yang terbaik untuk menjaga saya.

“Saya tak bahagia. Bagi saya, Tuhan dah letakkan hidup saya begini. Jodoh tak panjang,” katanya.

Luah Mimi, dia sekali lagi dijadikan sasaran. Dipersalahkan gara-gara rumah tangga yang tak berkekalan.

“Orang bercakap. Saya dipersalahkan. Kononnya sayalah punca rumah tangga tak berkekalan. Soal saya, siapa mereka hendak bercakap hal perkahwinan orang?

“Tuduhan mereka itu adalah berdasarkan apa yang mereka nampak. Saya tegaskan, ia jauh daripada kebenaran.

“Apa yang berlaku, hanya saya dan bekas suami sahaja tahu. Kami okay. Masih berkawan. Masih berjumpa dan lepak bersama,” ujarnya.

Tahun ‘memberi’, mencari cinta

2022 menjadi lembaran baru buat penghibur berbakat besar ini. Katanya, tahun ini adalah tahun menyayangi dan mencintai diri.

“2022 adalah tahun cinta tidak bersyarat. Tentang menyayangi diri sendiri. Kita tak boleh mencintai orang lain, kalau kita gagal menyayangi diri sendiri.

“Jadi, tahun ini, saya kembangkan kebolehan. Saya mulakan dengan melatih orang untuk uruskan berat badan. 44 client telah berdaftar dengan saya.

“Kepada mereka, saya kongsi gaya hidup, pemakanan yang sihat. Borak pasal kesihatan mental,” kongsinya.

Kata Mimi lagi, dia bersyukur kerana diberi kelebihan menyanyi, menari, menulis lagu dan menghiburkan.

Namun, dia mahu kembangkan potensi diri, mengolah kebolehan dan mencuba lebih banyak perkara baru.

“Tahun ini saya lebih ‘memberi’. Fokus pada karier itu tidaklah dikurangkan. Bagi saya, kerjaya saya okay.

“Cuma saya masih mencorak potensi diri. Selama 13 tahun dalam industri. Muzik itu sudah sebati. Pada saya, saya boleh beri lebih lagi,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya