KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyelesaikan permohonan kerajaan melucut hak harta mereka yang mencecah RM16 juta.
Harta-harta yang terlibat ialah daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera serta lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.
Peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili responden-responden memaklumkan, representasi itu dikemukakan pada 16 November lalu dan pihaknya difahamkan AGC akan membincangkannya dalam tempoh tiga minggu.
Sehubungan itu, beliau memohon pendengaran permohonan hari ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan representasi tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim yang mewakili Kerajaan Malaysia selaku pemohon tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan penangguhan.
Nik Haslinie berkata, surat representasi telah diserahkan kepada Ketua Pendakwaan AGC bagi arahan selanjutnya.
Dalam pada itu, peguam Poh Choo Hoe yang bertindak sebagai pihak ketiga yang menuntut iaitu Maybank Islamic Berhad juga tidak membantah permohonan penangguhan.
Maybank Islamic Berhad selaku pihak berkepentingan menuntut item keenam pada senarai warta kerajaan iaitu sebuah lot kedai yang terletak di Bandar Sunway, dekat sini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan 8 Februari ini bagi pengurusan untuk membolehkan pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah perkembangan representasi itu.
Ujar hakim berkenaan, jika responden-responden mahu memfailkan afidavit lanjut terhadap kerajaan berhubung pelucuthakan itu, mereka boleh berbuat demikian sebelum tarikh tersebut.
Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants.
Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September dua tahun lalu manakala responden-responden turut memfailkan permohonan untuk penangguhan. -UTUSAN ONLINE