KOTA BHARU: Semua aktiviti pembalakan di Kelantan setakat ini adalah terkawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, aktiviti pembalakan juga bukan penyumbang utama kepada terjadinya bencana banjir di negeri ini.
Dengan pemantauan rapi pihak berkuasa kata beliau, tiada keperluan untuk kerajaan negeri menghentikan aktiviti pembalakan yang merupakan antara penyumbang kepada hasil pendapatan Kelantan selama ini.
“Kita ada kuota yang ditetapkan dan penebangan balak ini tidak dilakukan dengan sewenangnya-wenangnya. Sebagai contoh, had kawasan adalah 3,000 hektar. Jika kita melebihi kawasan itu, barulah berdepan tindakan Majlis Perhutanan Negara.
“Lagipun aktiviti pembalakan ini bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebaliknya undang-undang dikuatkuasakan pihak berautoriti,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Semalam, satu petisyen ditandatangani lebih 200,000 individu telah digerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendesak aktiviti pembalakan di Kelantan dihentikan.
Menurut petisyen itu, jika terus dibiarkan, aktiviti pembalakan dikhuatiri bakal memusnahkan alam sekitar dan mengakibatkan lebih banyak bencana alam kepada negara, sekali gus mengancam nyawa dan merosakkan harta benda.