KUALA LUMPUR: Kehadiran ultras Johor Darul Takzim (JDT) ke Stadium Titiwangsa tidak mampu menyekat kemaraan Negeri Sembilan (NS) Antlers untuk melakar kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Premier pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 dekat sini, semalam.
Nyanyian penyokong yang bergema di setiap pelosok Stadium, bagaimanapun, gagal diserap Tigris yang kecundang kepada skuad rusa dalam set pertama 21-16.
Tigris yang berusaha bangkit untuk cuba mengheret pertemuan itu ke set penentuan berjaya dijelmakan dan NS Antlers tunduk 18-21.
Permainan yang disambung dalam set penentuan, menyaksikan Negeri Sembilan memperkemaskan pertahanan yang sekali gus membantu mereka mencipta kemenangan 21-16.
Sementara itu, pengurus NS Antlers, Mohd Syaharin Ismail ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pasukannya bermula baik apabila menang dalam set pertama, tetapi mereka mula hilang momentum pada hujung aksi set kedua sehingga membenarkan lawan mengheret permainan ke set penentuan.
“Menyaksikan pemain yang kehilangan momentum, jurulatih telah menegur para pemain agar terus fokus dan bermain seperti mana dalam set pertama.
“Pemain-pemain juga ditegur agar jangan ambil mudah pertemuan ini dan mujur mereka berjaya bangkit untuk menang,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kehadiran ultras Johor mengganggu para pemain, Syaharin memberitahu, pasukannya sudah terbiasa dengan tekanan daripada penyokong, jadi, mereka hanya fokus kepada perlawanan.
“Kehadiran penyokong yang bersorak memberikan sokongan kepada pasukan Johor memang ada mengganggu sedikit, tetapi tidak sampai menekan para pemain, mereka sudah lali dengan keadaan seumpama itu,” jelasnya.
Mengulas pula mengenai baki dua perlawanan pusingan pertama di Kuala Lumpur, hujung minggu depan, beliau berkata, ujian lebih getir menanti Negeri Sembilan yang akan menentang juara bertahan, Kuala Lumpur Thunder dan pasukan sedang meningkat naik, Bomba Fighters.