LUMUT: Kerajaan negeri diminta campur tangan dalam memastikan kegiatan melombong pasir silika di pantai Pasir Panjang, Segari dekat sini tidak berulang.
Ini berikutan kegiatan itu yang dikatakan sudah lebih sebulan dijalankan memberi kesan kepada pendapatan nelayan dan mengancam habitat penyu yang mendarat untuk bertelur.
Seorang penduduk, Rosima Saidin, 58, dari Kampung Batu 10, Segari mengakui tidak percaya apabila kawasan yang menjadi tempat dia bersama bapanya mencari hasil laut, kini musnah akibat aktiviti mengorek pasir.
Dia yang lahir dan membesar di sini berkata, sejak dahulu lagi penduduk mencari rezeki di pantai itu sama ada menaiki bot dari laut atau mengikut laluan darat untuk ke pantai.
“Tapi hari ini saya terkejut melihat hutan dan pantai ini musnah dan dipenuhi dengan longgokan pasir akibat perbuatan manusia tidak bertanggungjawab, sedih saya rasa. Saya ingat apa yang saya dengar hanya khabar angin tapi apabila anak saya bawa saya ke sini, memang saya terkejut. Kegiatan ini merosakkan alam sekitar termasuk mengganggu penyu bertelur,” katanya ketika ditemui di lokasi mengorek pasir di sini hari ini.
Menurutnya, semasa kecil dia sering menjumpai penyu yang mendarat di Pantai Pasir Panjang di sini.
Katanya, namun sejak kawasan berkenaan diterokai dengan pelbagai aktiviti termasuk kolam udang, haiwan berkenaan semakin kurang.
“Sejak ada macam-macam projek, susah nak jumpa penyu, kami yang nelayan juga memang susah nak dapat hasil laut berhampiran pantai, kalau nak ke tengah laut bot kami kecil tak sesuai. Kerajaan negeri perlu bantu kami, jangan biarkan orang musnahkan pantai ini dan ulang perbuatan tidak bertanggungjawab ini sebab ia akan memberi kesan kepada pendapatan kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang juga nelayan, Mohd. Rafis Sahffi, 36, kesal terhadap kegiatan melombong pasir yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan pendapatannya terjejas.
“Kawasan Pantai Pasir Panjang ini merupakan lubuk udang dan ikan untuk nelayan, di sinilah kami memperoleh hasil tangkapan yang lebih berbanding di kawasan lain. Selain udang di sini juga banyak ikan senangin dan bawal tapi apabila berlaku aktiviti melombong pasir, kami khuatir hasil tangkapan semakin berkurangan kerana sejak sebulan mereka beroperasi kami sudah mula menerima kesannya,” katanya.
Menurut Mohd. Rafis, nelayan juga khuatir sekiranya pihak terbabit membawa pasir keluar menggunakan laluan laut menggunakan tongkang besar yang boleh merosakan pukat nelayan.
“Perkara seperti ini perlu dihentikan dan pihak berkuasa perlu ambil serius menyelesaikannya sebab jika bukan mereka siapa lagi nak bantu rakyat seperti kami ini,” katanya.
Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk mendakwa syarikat yang telah menjalankan perlombongan pasir silika di pantai tersebut.
Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pengusaha terbabit perlu memulihkan kembali hutan berkenaan yang menjadi habitat kepada penyu untuk bertelur yang telah dimusnahkan.
“Kawasan pantai dari Hutan Lipur Pasir Panjang hingga ke Pantai Pasir Pandak, Tanjung Hantu merupakan kawasan yang kerap direkodkan pendaratan penyu berdasarkan penemuan sarang dan kutipan telur oleh pengutip telur penyu yang dilantik oleh Jabatan Perikanan. Kegiatan pengambilan pasir dibimbangi boleh mengganggu dan memusnahkan struktur fizikal kawasan pantai dan menyebabkan tidak sesuai lagi untuk penyu mendarat dan bertelur di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau juga berharap, pihak berkuasa negeri akan mengambil tindakan menghenti dan tidak membenarkan lagi sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah yang berisiko impak di Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) terutama kawasan pendaratan penyu.
“Oleh kerana kawasan pengambilan pasir tersebut dikategori sebagai KSAS Tahap 1, adalah wajar Pihak Berkuasa Negeri mewartakan semula sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau lain-lain kawasan perlindungan. Kami juga berharap, Pihak Berkuasa Negeri dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna pakai rancangan pemajuan terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang menekankan kepada perlindungan kawasan KSAS,” katanya. – UTUSAN ONLINE