Kedai 'mamak' perlu transformasi sepertimana restoran makanan segera - Utusan Malaysia

Kedai ‘mamak’ perlu transformasi sepertimana restoran makanan segera

SEORANG pekerja memeriksa lauk yang dijual di Restoran Masyur, Taman Pelangi, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha restoran India Muslim perlu membuat transformasi selain menawarkan daya tarikan baharu sepertimana di restoran makanan segera untuk menarik minat rakyat tempatan bekerja di situ.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pengusaha restoran India Muslim harus menyediakan perkara-perkara utama dalam menentukan kesediaan pekerja tempatan untuk bekerja di bahagian perkhidmatan restoran itu.

Katanya, pengusaha restoran India Muslim perlu membuat perbandingan antara apa yang ditawarkan di restoran mereka dan restoran makanan segera dalam menarik minat pekerja tempatan.

“Ini kerana pekerja tempatan terutama golongan muda bekerja dengan ‘glamour’, maka apabila bekerja di restoran makanan segera, penghantar ada nama untuk dibawa.

“Itu trend pekerja tempatan pada masa kini bagi generasi X, Y dan Z. Jadi pengusaha restoran kena menarik minat. Tak dinafikan mereka bersedia dan rajin bekerja, tetapi adakah pekerjaan itu memberikan rangsangan dan minat mereka untuk bekerja di situ?” Soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan memberitahu, mereka kini memerlukan kira-kira 10,000 pekerja tempatan berikutan pekerja mereka yang pulang bercuti ke India tidak dapat kembali semula ke Malaysia kerana polisi kerajaan yang mengawal pekerja asing ketika ini.

Bagaimanapun katanya, untuk mendapatkan pekerja di restoran India Muslim sekarang ini, agak payah kerana rakyat tempatan lebih suka bekerja di restoran makanan segera.

“Kami sudah sediakan makan minum sampai tiga atau empat kali sehari dan tempat tinggal, tetapi rakyat tempatan lebih suka bekerja di restoran makanan segera dan jadi penghantar makanan. Hina sangatkah kerja di restoran mamak?” Soal Jawahar Ali.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, pengusaha restoran India Muslim juga seharusnya membuat kajian mengenai perbandingan antara bekerja di restoran India Muslim dan restoran makanan segera.

Katanya, ini kerana kebanyakannya hanya melihat dari segi kemudahan majikan atau pengusaha dan bukannya pekerja semata-mata.

“Jadi pengusaha kena lihat apa ada di restoran makanan segera, mereka bekerja mengikut jam disediakan Akta Kerja 1955 iaitu lapan jam bekerja, satu hari rehat dan bekerja tidak melebihi empat jam bagi bekerja lebih masa dalam sehari iaitu bersamaan 104 jam dalam masa 26 hari.

“Mereka menyediakan perlindungan sosial Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana tidak disediakan oleh pengusaha restoran India Muslim atau restoran biasa yang lain di seluruh negara kerana mengambil pekerja lebih kepada sambilan dan gaji harian tanpa perlindungan setimpal dalam perlindungan sosial bagi pekerja tempatan, ini tidak berlaku dan tidak disuarakan.

“Jadi, pekerja asing kesemuanya bekerja melebihi 12 jam dengan hanya satu bayaran, maka berisiko atau dianggap hilang keuntungan kerana pengusaha harus membayar perkara yang diwajibkan dalam Akta Kerja 1955, Akta Perkeso 1969, Akta KWSP 1991.

“Oleh itu, perkara sebegitu menjadi tanggungjawab lebih dan tidak disedari oleh pengusaha restoran, malah mereka tidak bersedia memahami keperluan perlindungan sosial dan perlindungan Akta Kerja 1955,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya