LEICESTER: Pengendali Tottenham Hotspur Antonio Conte melihat semangat yang mahu diterapkan dalam diri anak buahnya telah dibuktikan ketika bangkit meraih kemenangan 3-2 ke atas Leicester City di Stadium King Power, semalam.
Pemain gantian Steven Bergwijn muncul wira Spurs selepas meledak dua gol pada masa kecederaan.
The Foxes begitu hampir meraih kemenangan selepas dua kali mendahului menerusi Patson Daka dan James Madison namun kedudukan itu dirapatkan oleh Harry Kane.
Bagaimanapun Bergwijn, yang belum menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris musim ini, masuk sebagai pemain gantian dan mencetus kemenangan buat Spurs di saat akhir.
Keputusan itu juga menyaksikan Conte berjaya mengelak kekalahan liga pertamanya sejak mengambil alih pasukan pada November lalu dan kemenangan itu melonjak Spurs ke tangga kelima mengatasi Arsenal serta hanya satu mata di belakang West Ham dengan tiga perlawanan di tangan.
“Saya rasa kami membuktikan hari ini (semalam) yang kami tidak mahu berputus asa. Tidak sesekali. Pemain-pemain tahu apa falsafah kami.
“Kami perlu berjuang hingga ke akhir perlawanan untuk mendapatkan keputusan,” kata Conte.
Perlawanan berkenaan dijadualkan semula atas permintaan Leicester selepas mereka kekurangan pemain pada Disember akibat kecederaan dan Covid-19.
Dalam pada itu, Brendan Rodgers menyalahkan pasukannya sendiri kerana menghadiahkan tiga mata kepada pihak lawan.
“Mereka melakukan tugas yang baik sepanjang 93 minit. Melepaskan gol penyamaan adalah mengecewakan kerana ia berlaku begitu lewat, tetapi jaringan kemenangan itu sangat buruk dan memang perit untuk ditelan apabila kami berakhir dengan tangan kosong.
“Saya tidak rasa Tottenham memenangi perlawanan ini, tetapi kami yang menghadiahkan tiga mata kepada mereka,” ujarnya. – AGENSI