KANGAR : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyantuni sebanyak 1,530 asnaf melalui program Kayuhan MAIPs Peduli melibatkan jumlah sumbangan sebanyak RM1.071 juta pada tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sendiri berkenan mengetuai sebanyak 60 kali kayuhan walaupun terpaksa berhadapan dengan pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu.
Katanya, MAIPs komited untuk terus melipatgandakan budaya turun padang dalam menjayakan segala inisiatif yang dirancang.
“Pendekatan yang mengutamakan elemen mendekati dan menyantuni sebelum ini telah sebati sebagai salah satu daripada kekuatan MAIPs.
“Usaha yang dilakukan berjaya membantu golongan sasar selain mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan benar terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin dalam sesi Kayuhan MAIPs Peduli ke-60 dan penutup bagi tahun 2021 yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Alwi, Kangar di sini.
Selain singgah menyantuni Zambree Bulat, Zainab Salim dan Fatorini Keria, baginda turut berkenan menyerahkan RM21,000 sumbangan MAIPs kepada amil kariah masjid berkenaan, ustaz Ismail Hashim untuk diagihkan kepada 30 orang asnaf terpilih dengan masing-masing menerima RM700 setiap seorang.
Tambah Mohd. Nazim, semenjak pelaksanaan program Kayuhan MAIPs Peduli pada 2013, sebanyak 704 kali kayuhan telah dilaksanakan oleh baginda yang turut diiringi oleh ketua-ketua jabatan dan juga pihak swasta.
“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 36,310 asnaf menerima manfaatnya dengan melibatkan jumlah sumbangan sekitar RM22.8 juta,” ujarnya.
Untuk rekod, MAIPs turut menempatkan wakil-wakilnya dalam komuniti masyarakat seperti amil di 102 kariah selain guru muraqib amil di semua sekolah negeri ini termasuk wakil-wakil di institut pengajian tinggi di Perlis.- UTUSAN ONLINE