Kapal tangki ditahan berlabuh tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Kapal tangki ditahan berlabuh tanpa kebenaran

KAPAL tangki, Lorraine yang ditahan di perairan Kuala Selangor, oleh Maritim Malaysia Selangor kira-kira 22 batu nautika dari Sekinchan, Selangor selepas berlabuh tanpa kebenaran semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan sebuah kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran mengundang padah apabila anak kapalnya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuala Selangor, semalam.

Kapal Lorraine yang dinaiki 22 kru warga asing itu ditahan kira-kira 22 batu nautika barat daya Sekinchan di sini, pada pukul 4.20 petang.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk yang melakukan rondaan Op Ehsan pada pukul 10.55 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan 22 kru terdiri daripada warga China, India dan Romania yang memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Namun, nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh. Justeru, perintah penahanan ke atas kapal tangki itu dikeluarkan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohammad Rosli, dua kru kapal itu turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut. Selain itu, ia melibatkan kegagalan memaklumkan ketibaan kapal mengikut Seksyen 449 Ordinan sama,” jelasnya.

Tambah beliau, kesalahan itu memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sehubungan itu, Mohammad Rosli menasihatkan pengusaha perkapalan atau pemilik kapal memohon kebenaran bersauh  dan mematuhi peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya