Kapal dagang tak hirau pukat nelayan - Utusan Malaysia

Kapal dagang tak hirau pukat nelayan

NUR MUHAMMAD AZRI Mustapah menunjukkan laporan polis berhubung kejadian yang menimpanya. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nelayan pesisir pantai dari Kampung Hailam dekat sini mendakwa menanggung kerugian apabila pukat hanyut yang dipasang rosak dilanggar sebuah kapal dagang yang hendak berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas, baru-baru ini.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nur Muhammad Azri Mustapah, 32, berkata, kapten dan kru tidak mengendahkan amaran yang diberikannya ketika kapal terbabit menghampiri pukat hanyut yang dipasang tidak jauh dari pelabuhan itu.

“Mereka langsung tidak peduli amaran saya dan terus melanggar pukat menyebabkan 10 daripada 40 keping rosak dan tidak boleh digunakan.

“Kru kapal sudah lihat saya melambai beberapa kali malah saya bawa bot menghampiri mereka namun tidak dipedulikan untuk sekurang-kurang menukar haluan,” katanya ketika ditemui.

Menceritakan kejadian itu, Nur Muhammad Azri berkata, dia mula memasang pukat dari Pulau Upeh serta melalui hadapan pelabuhan Tanjung Bruas sebelum dilanggar oleh kapal dagang terbabit.

Menurutnya, dia telah menuntut ganti rugi sebanyak RM2,000 daripada pemilik kapal tersebut dan Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. atas kejadian yang menimpanya.

“Bagaimanapun, mereka langsung tidak mempedulikan tuntutan itu sebaliknya menyalahkan saya kerana memukat di kawasan perairan milik Bruas Port,” ujarnya.

Katanya, satu laporan juga telah dibuat di Jabatan Laut Pantai Puteri berhubung kejadian pada pukul 3.30 petang, 17 Januari lalu.

“Saya juga telah membuat satu laporan di Balai Polis Tanjong Kling berhubung kejadian tersebut.

“Pukat hanyut yang dilanggar oleh kapal tersebut baru dibeli dengan harga RM4,000. Jadi nelayan adalah sumber pendapatan utama saya, bila tidak ada pukat macam mana saya nak cari rezeki untuk sara isteri dan seorang anak?,” keluhnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya