TAIPING: Gara-gara bermain mesin penguli tepung, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun tersepit tangan kirinya pada mesin tersebut dalam kejadian di Markas Pas, Pintu Gerbang Sungai Petai, Bukit Gantang dekat sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.10 pagi.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak tersepit tangan kiri pada besi penguli mesin tepung.
“Anggota bomba mengambil masa 12 minit memotong besi mesin penguli menggunakan peralatan khas sehingga selesai.
“Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 8.58 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE