‘Kami tidak abaikan penguatkuasaan luar bandar’ - Utusan Malaysia

‘Kami tidak abaikan penguatkuasaan luar bandar’

AZMAN Adam (kiri) dan pasukan penguat kuasa KPDNHEP melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan khas di kawasan Ulu Sungai dan Cheroh di daerah Raub, Pahang. - KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak pernah mengabaikan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan luar bandar. 

Ia terbukti apabila 19 peratus atau 12,834 premis yang diperiksa bermula 1 hingga 28 Januari lalu adalah membabitkan premis perniagaan di kawasan luar bandar. 

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, pada tahun lalu pula, sebanyak 148,430 (17 peratus) daripada 865,086 premis diperiksa adalah terletak di kawasan luar bandar. 

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan aktiviti pemantauan dijalankan KPDNHEP bukan hanya berpusat di kawasan bandar sahaja. 

“Kami menyedari kawasan luar bandar juga perlu diberikan keutamaan dalam membuat  pemantauan terutamanya bagi memastikan masyarakat luar bandar juga dapat menikmati bekalan keperluan asas mencukupi. 

“Jarak perjalanan yang jauh, keadaan geografi dan akses untuk memasuki kawasan luar bandar tertentu yang sukar antara faktor menyebabkan bekalan keperluan asas di kawasan luar bandar ini kadangkala berdepan gangguan bekalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Katanya, penguatkuasaan dan pemantauan berterusan di kawasan luar bandar ini juga penting bagi memastikan peniaga-peniaga di kawasan ini juga mematuhi semua peraturan yang  dikuatkuasakan. 

Azman berkata, mereka juga perlu mematuhi peraturan tanda harga, alat timbang dan barangan subsidi bagi memastikan penyelewengan barang kawalan dan subsidi tidak berlaku. 

“Saya dan pasukan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan khas di kawasan Ulu Sungai  dan Cheroh di daerah Raub. 

“Hasil pemeriksaan didapati tahap pematuhan peniaga adalah sangat baik dan kedudukan bekalan barang-barang keperluan harian juga didapati stabil dan mencukupi bagi menghadapi perayaan Tahun Baru Cina minggu ini,” katanya. 

Katanya, pihaknya juga menggalakkan masyarakat di luar bandar untuk menyalurkan maklumat sekiranya berlaku  gangguan bekalan keperluan asas di kawasan masing-masing termasuk salah laku oleh segelintir peniaga tidak beretika. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya