Kambing, kura-kura antara haiwan dirawat klinik bergerak mangsa bah di Selangor - Utusan Malaysia

Kambing, kura-kura antara haiwan dirawat klinik bergerak mangsa bah di Selangor

SUASANA sukarelawan klinik bergerak misi perubatan menyantuni haiwan mangsa banjir di Selangor baru-baru ini. – Foto ihsan Mavma
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bukan sahaja kucing dan anjing, kambing dan kura-kura turut ‘disantuni’ Klinik Bergerak Misi Kecemasan dan Perubatan Haiwan Terkesan Banjir di Selangor baru-baru ini.

Dua ekor haiwan itu antara sejumlah 1,596 ekor haiwan yang mendapat rawatan sukarelawan pelbagai badan tempatan dikelolakan oleh Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (Mavma).

Menerusi hantaran berbentuk infografik di laman sosial organisasi itu, kucing muncul sebagai haiwan paling banyak dirawat iaitu 1,420 ekor atau 88.9 peratus daripada angka kesemuanya.

Ia melibatkan 821 ekor di Nanding, Hulu Langat dan 599 ekor di Sri Muda, Shah Alam daripada jumlah keseluruhan haiwan di lokasi itu masing-masing merekodkan 850 ekor dan 746 ekor.

Mavma memaklumkan bahawa seramai 119 doktor veterinar berkhidmat secara sukarela untuk misi itu dengan masing-masing 23 orang di Nanding manakala 96 orang lagi di Sri Muda.

Mereka juga dibantu siswa perubatan veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kecil Malaysia (MSAVA) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Misi khas di Sri Muda berlangsung selama tujuh hari yang berakhir pada 27 Disember tahun lalu sebelum diikuti kemudiannya di Nanding selama dua hari sahaja bermula 1 Januari lepas.

Berdasarkan pecahan haiwan di Sri Muda menyaksikan hanya empat jenis binatang iaitu kucing tertinggi dengan 599 ekor, disusuli anjing (144), burung (dua) dan kura-kura (seekor).

Sementara di Nanding pula, walaupun singkat namun mereka menyantuni tujuh jenis haiwan dengan kucing juga yang paling banyak iaitu 821 ekor diikuti anjing (14) dan arnab (tujuh).

Tidak ketinggalan dirawat pasukan sukarelawan misi itu ialah dua ekor tikus peliharaan dari spesies guinea pig serta seekor masing-masing bagi landak hedgehog, hamster dan kambing.

Dua premis klinik bergerak itu turut menerima sumbangan ihsan orang ramai serta dana dari Yayasan Hasanah selain syarikat korporat dan individu prihatin berjumlah RM108,782.15.

Sumbangan tersebut malahan ujar Mavma, dapat menampung perbelanjaan misi selama sembilan hari di dua lokasi paling teruk terjejas di Selangor itu yang berjumlah RM107,396.85.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya