KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose sedia membantu polis yang menjalankan siasatan terhadap majlis persandingan mereka yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya telah berhubung dengan Kamal dan Uqasha dan mereka menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama.
“Jadi, kita tunggu mereka pulang dahulu dari Mekah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sedang mengenal pasti tetamu yang hadir ke majlis persandingan pasangan tersebut yang diadakan Disember lepas.
“Kami masih mengenal pasti tetamu termasuk ahli keluarga yang hadir ke majlis tersebut.
“Setakat ini, belum ada tarikh tertentu untuk panggil Uqasha dan Kamal. Tunggu mereka pulang dan habiskan tempoh kuarantin,” katanya.
Dalam pada itu, Zaiham turut mengingatkan kepada mana-mana penganjur agar memaklumkan kepada pihak polis berkenaan sebarang program atau majlis yang dilaksanakan terutamanya di sekitar kawasan yang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, tindakan tersebut perlu bagi membolehkan pihak polis membuat pemantauan terutamanya berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis dijalankan.
“Hasil semakan kami mendapati pihak kamal dan Uqasha tidak berbuat demikian.
“Pihak penganjur seharusnya sedia maklum dengan perkara ini. Mereka perlu maklumkan supaya kita boleh pantau dan nasihat jika berlaku pelanggaran SOP.
“Dalam keadaan tertentu, kita masih boleh bagi nasihat. Kalau betul langgar (SOP) baru akan ambil tindakan,” tambahnya.
Kamal dan Uqasha telah berangkat ke Makkah pada 23 Disember lalu untuk mengerjakan ibadah umrah.
Pasangan tersebut dikecam hebat kerana didakwa melanggar SOP ketika menganjurkan resepsi persandingan di Genting Highlands pada 15 Disember lalu. – UTUSAN ONLINE