JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berikutan kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.
Justeru Ketua AMK Pusat, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir meminta kerajaan menambah satu hari lagi sesi sidang khas Parlimen pada 20 Januari ini untuk membincangkan perkara tersebut di samping agenda utama berkaitan banjir.
“Persoalan terhadap integriti SPRM atas apa yang berlaku sangat penting dan perlu dikendalikan segera. Kerajaan dan pembangkang perlu cari jalan penyelesaian dan memastikan ada sistem semak dan imbang untuk memastikan institusi SPRM terbela,” katanya selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung satu perhimpunan yang dianjurkan AMK di depan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada Isnin lalu.
Baru-baru ini, Azam berdepan pelbagai tuduhan berkaitan dakwaan pemilikan saham dalam syarikat Gets Global Bhd. dan Excel Force MSC Bhd. antara 2015 dan 2016. Bagaimanapun beliau tegas dengan pendiriannya tidak melakukan sebarang kesalahan dan sedia berdepan sebarang siasatan sekiranya perlu.
Tambah Akmal Nasrullah, gesaan untuk mengkaji dan meminda undang-undang itu perlu kerana di bawah akta berkenaan, beberapa jawatankuasa ditubuhkan untuk menyelia SPRM seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dilihat gagal.
“Isu integriti yang berlaku di peringkat dalaman SPRM telah melemahkan kedudukan LPPR. Sehubungan itu, AMK akan menghantar memorandum kedua iaitu ‘Memorandum Rakyat’ yang akan diserahkan kepada kerajaan sewaktu sesi Parlimen khas pada 20 Januari ini,” katanya. – UTUSAN