JPS Negeri Sembilan siasat dakwaan siren amaran banjir tidak berfungsi 

JPS Negeri Sembilan siasat dakwaan siren amaran banjir tidak berfungsi 

AMINUDDIN Harun menyerahkan Borang 5A kepada salah seorang penduduk Kampung Chuah di Port Dickson hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat dakwaan penduduk berhubung siren amaran banjir yang dipasang di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas tidak berfungsi, Sabtu lalu sehingga memaksa mereka berpindah sehelai sepinggang.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kemungkinan keadaan hujan lebat menyebabkan siren amaran banjir tersebut tidak dapat didengari sama seperti yang berlaku di Ampangan, Seremban. 

“Ketika hari pertama kejadian saya berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah sehingga pukul 2 pagi dan melihat sendiri keadaannya.

“Kami akan melihat perkara tersebut (siren tidak berbunyi) dan minta JPS menyiasat serta menambah keperluan meningkatkan bunyi siren yang dipasang di beberapa daerah di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Borang 5A kepada lapan penduduk Kampung Chuah, di sini hari ini.

Menurut Amiruddin, pada tahun ini kerajaan negeri juga merancang menambah siren tersebut terutama di kawasan berisiko banjir.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk melahirkan rasa kecewa apabila siren amaran banjir di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas gagal berfungsi sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah sehelai sepinggang.

Berdasarkan maklumat JPS Negeri Sembilan, terdapat 22 sistem amaran banjir telah dipasang di kawasan yang berisiko agar dapat memberi amaran awal kepada penduduk setempat sebagai persediaan menyelamatkan harta diri dan harta benda.

Sementara itu, Aminuddin berkata, setakat 8 pagi tadi Negeri Sembilan mencatatkan seramai 2,037 mangsa banjir melibatkan 552 keluarga di empat daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

“Tampin mencacatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,400 orang melibatkan 396 keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, laluan ke Stesen Pemancar di Gunung Telapak Buruk, Jelebu masih belum boleh dilalui untuk semua kenderaan susulan tanah runtuh dan kerja baik pulih sedang dilakukan secara berperingkat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya