PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran bahaya bagi beberapa batang sungai di beberapa negeri yang melepasi paras yang ditetapkan.
Setakat pukul 3 petang, di Pahang, empat sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Serting, Bera; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran; Paya Gintong, Jerantut dan Sungai Pahang di Kuala Krau.
Di Johor, amaran bahaya dikeluarkan JPS bagi Sungai Segamat; Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur; Sungai Senik di Ladang Chaah Segamat dan Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar.
Di Negeri Sembilan dua batang sungai terlibat iaitu Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol dan Sungai Muar di Kampung Berembang Kuala Pilah.
Di Melaka, tiga batang sungai turut melepasi paras bahaya iaitu Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah; Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah serta Sungai Kesang di Teluk Rimba, Jasin.
Di Selangor, hanya Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi paras bahaya.
JPS mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan berwaspada.
“Dapatkan amaran dan ramalan banjir terkini serta maklumat berkenaan kenaikan aras sungai di kawasan anda serta kadar lebat hujan dengan melayari https://publicinfobanjir.water.gov.my/. -UTUSAN ONLINE