JPJ perjelas dakwaan iringi lori balak - Utusan Malaysia

JPJ perjelas dakwaan iringi lori balak

TANGKAP layar lori balak yang melalui laluan yang dijaga sebuah agensi penguatkuasaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan tindakan anggotanya mengiringi beberapa buah lori balak di Gua Musang, Kelantan semalam adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu.

JPJ menerusi kenyataan hari ini berkata, tindakan tersebut dilakukan bertujuan memastikan pemandu-pemandu lori terlibat tidak meloloskan diri daripada kawalan jabatan.

Menurutnya, tindakan (mengiringi) itu juga dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain terjamin khususnya sepanjang perjalanan lori balak berkenaan ke Stesen Penguat Kuasa (SPK) Mentara, Gua Musang.

“JPJ memandang serius akan sebarang persepsi negatif terhadap jabatan yang didakwa seolah-olah memberi ‘perlindungan’ kepada lori-lori balak berkenaan.

“Pemilik akaun media sosial tersebut dilihat telah mencalarkan imej jabatan kerana tidak faham akan gerak kerja sebenar jabatan dalam menangani isu lori-lori balak yang disyaki membawa lebih muatan ini,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan termasuk membuat laporan polis sekiranya mendapati tuduhan itu mampu menggugat kreadibiliti dan imej JPJ.

JPJ berkata, semalam, JPJ Kelantan melaksanakan Op Khas Lori Balak di mana 30 buah lori balak ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk pemeriksaan.

Katanya, kesemua lori balak berkenaan diarahkan untuk ditimbang di SPK Mentara, dan telah diiringi kenderaan rasmi jabatan.

“Dalam operasi itu, JPJ mengeluarkan 56 notis kesalahan, iaitu 23 notis di bawah Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, 2 notis di bawah Seksyen 224 APAD 2010, 31 notis bagi lain-lain kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN