JKMPay tidak libatkan semua penerima, tanpa paksaan - Utusan Malaysia

JKMPay tidak libatkan semua penerima, tanpa paksaan

Siti Zailah Mohd. Yusoff (kiri) menerima memorandum yang diserahkan oleh gabungan persatuan OKU di pekarangan bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Sistem Bantuan Tanpa Tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMPay) adalah projek rintis dan tidak akan melibatkan semua penerima.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, program berkenaan juga adalah berbentuk pilihan kepada penerima baharu dan tiada sebarang paksaan dalam pelaksanaannya.

“Pelaksanaan program ini bukanlah secara paksaan malah kita turut adakan temuduga terlebih dahulu, jadi dakwaan ia melibatkan semua penerima adalah satu salah faham semata-mata.

“Kajian berhubung program ini dibuat terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya dan ia adalah sebagai projek rintis tidak melibatkan semua penerima termasuk orang kurang upaya (OKU), hanya kepada penerima baharu sahaja bukan penerima sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan bangunan kementerian itu selepas menerima memorandum Bantah JKMPay daripada gabungan persatuan OKU di sini hari ini.

Sebelum itu, kira- kira 50 individu OKU dari seluruh negara mewakili beberapa persatuan berkumpul di pekarangan bangunan kementerian itu untuk menyerahkan memorandum kepada Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Siti Zailah pada masa sama menjelaskan, pihaknya akan meneliti memorandum tersebut untuk melihat isu berbangkit dan mencari penyelesaian kepada permasalahan itu.

“Kita akan berbincang bagaimana untuk melihat isu ini, kita sayang OKU dan kumpulan sasar kita malah kita mahu berita baik untuk mereka jadi pihak kementerian akan beri perhatian sebaik mungkin,” ujar beliau.

Sementara itu, jurucakap persatuan OKU, Francis Siva berkata, kehadiran mereka hari ini adalah bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap pelaksanaan program tersebut yang disifatkan sebagai menindas golongan OKU.

“Mereka implimentasikan program ini tanpa pengetahuan kami dan kami kini sangat kecewa dengan kementerian dan menteri. Mereka patut tahu apa yang berlaku dalam komuniti kami, OKU hidup susah semua orang tahu itu.

“Pemotongan bantuan sebanyak 50 peratus yang dimasukkan ke dalam kad JKMPay itu tidak lagi boleh digunakan untuk membayar sewa rumah, bil telefon, ubatan khas dan sebagainya mengikut kehendak penerima,” katanya.

Program JKMPay yang dimulakan pada Februari tahun lalu dilaksanakan secara rintis selama enam bulan melibatkan beberapa negeri iaitu Perlis, Kedah, Melaka, Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Melalui JKMPay, penerima bantuan akan mendapat 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam penerima bantuan berkenaan dan ia boleh dikeluarkan dengan kad ATM atau Debit Bank Islam.

Baki 50 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam Kad JKMPay dan sebagai permulaan, penerima bantuan hanya boleh berbelanja untuk barang keperluan asas, keperluan harian dan ubat-ubatan di 250 kedai berdaftar dengan Bank Islam sahaja.

Bagaimanapun, pembelian yang tidak tersenarai dalam maklumat barang keperluan, tidak dibenarkan untuk menggunakan kad JKMPay.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya