Jiwa dakwah Wak Pyan - Utusan Malaysia

Jiwa dakwah Wak Pyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA minggu ketiadaannya di konti Radio IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dalam segmen Warna Pagi menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Peminat setia yang mendengar celotehnya setiap pagi tidak keruan meninggalkan komen dalam Facebook dan Instagram bertanyakan status dirinya dengan radio inspirasi inforia Islami.

Selama 12 tahun bersama radio IKIM bukan perjalanan singkat. Kembara dakwahnya menerusi frekuensi 91.5 FM meninggalkan pengikutnya tersendiri.

Empunya nama Suffian Amrin, 41, akhirnya memaklumkan dirinya hanya mengambil cuti rehat sempena tahun baharu 2022.

Suasana pagi di konti radio IKIM akhirnya tidak lagi ‘sunyi’ sejak 17 Januari lalu.

Vokalis kumpulan nasyid Saujana ini atau lebih mesra dikenali sebagai Wak Pyan memulakan rentak tahun baharu dengan gandingan deejay baharu, Luqman Hakim.

“Semasa saya berehat, macam-macam respons dapat dari pendengar sebab saya tak beritahu akan pergi ke mana sepanjang dua minggu tersebut. Hari terakhir 2021 saya hanya beritahu kepada pendengar DJ Hazwan akan tamat kontrak.

“Saya terharu sebenarnya sampai ada pendengar hantar emel bertanyakan tentang diri saya.

“Sebelum ini, saya bersama DJ Hazwan sejak 2019 hingga 2021. Sejak 2010, silih berganti dengan DJ Siti Rohani, Norhayati Paradi dan Hadhari dalam segmen Warna Pagi.

“Sejak 12 tahun lalu, saya tidak pernah bertukar waktu siaran dari pukul 6 hingga 10 pagi,” katanya memulakan bicara.

Ditanya tentang program bual bicara yang mendapat sambutan sepanjang lebih sedekad berada dalam dunia penyiaran radio, kata Wak Pyan, program melibatkan tokoh dan ulama besar serta topik kekeluargaan dan motivasi mempunyai rating pendengar yang tinggi.

SOALAN SAMPAH

Sebagai juruhebah radio, Wak Pyan menjelaskan dia juga perlu bijak mengatur soalan untuk ditanyakan kepada setiap tetamu agar tidak kelihatan seperti ‘soalan sampah’.

Jelasnya, kemahiran tersebut tiada galang ganti yang ditimba sepanjang berada di radio IKIM supaya pendengar mendapat manfaat daripada sesuatu perbincangan.

“Kemahiran bertanyakan soalan perlu tepat dan jitu kerana tetamu tidak boleh berada lama dalam sesuatu segmen. Sebagai DJ perlu main peranan kerana kita tidak boleh tanya ‘soalan sampah’ sebab nanti pendengar menyampah.

“Cabaran kita juga adalah mengendalikan topik isu semasa sebab kita tak ‘goreng’ sebagai gosip atau bahan siaran radio sahaja. Sebaliknya, kita cuba hadirkan solusi, tips dan panduan Islam dalam bentuk yang santai,” katanya.

Menepis dakwaan kononnya radio IKIM hanya radio ‘syok sendiri’ kerana terlalu banyak bual bicara ilmiah berbanding lagu yang diputarkan, jelas Wak Pyan, sebagai sebuah radio Islamik tidak dapat tidak penjelasan dan kupasan mengenai sesuatu topik perlu diberikan keutamaan.

“Topik bual bicara sememangnya memerlukan masa yang lebih panjang supaya kupasan tersebut tidak tergantung kerana bimbang akan mengelirukan pendengar.

“Namun, kita juga sedar keperluan untuk menyeimbangkan hiburan dan ilmu,” jelasnya.

25 tahun legasi Saujana

Sebut sahaja tentang kumpulan nasyid Saujana, sudah pasti melekat di kepala setiap penggemar nasyid lagu Sepohon Kayu.

Sedar tidak sedar, sudah 25 tahun kumpulan ini mewarnai industri hiburan tanah air.

Kumpulan yang ditubuhkan sejak 16 April 1997 ini sudah menghasilkan lapan album penuh dengan lebih 100 judul lagu seperti Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati dan Patah Hati.

Latar belakang mereka juga bukan calang-calang kerana ada yang berjaya menjadi pakar dalam bidang dermatologi, pakar saraf serta kepemimpinan tertinggi dalam sebuah bank tempatan.

“Yang bergerak aktif sekarang adalah tiga orang iaitu saya sendiri, Azalinor Abdul rahman dan Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz.

“Kalau ada projek khas kami bertujuh akan disatukan dalam satu pentas. Kami baru siapkan sebuah single iaitu lagu lama yang diberi nafas baharu dan hanya tinggal video klip sahaja,” kata Wak Pyan.

Legasi dakwah

Wak Pyan sebenarnya seorang yang sangat gigih mencari rezeki serta meletakkan ‘kerja dakwah’ sebagai tugas hakikinya.

Selain menjadi juruhebah radio dan penyanyi, Wak Pyan turut aktif menjadi jurulatih nasyid, pengurus acara dan pengacara majlis.

Jelasnya, antara pencapaian yang sangat membanggakan apabila dapat melatih pasukan nasyid Soul al-Ghamidi (SAG) dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang sehingga membuat persembahan di pentas antarabangsa.

Pintanya kini satu, mahu melihat legasi dalam kalangan anak muda yang mampu mewarisi nasyid dan penyiaran radio.

“Radio bukan semudah TikTok kerana kita mempunyai pendengar yang sangat bijak.

“Saya sedang berusaha mencari legasi dalam kedua-dua bidang ini dan akan menggali lebih banyak ilmu agar lebih ramai peminat dan pendengar mendapat manfaat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya