SEREMBAN: Seramai 259 mangsa banjir diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan setakat ini, susulan kejadian banjir kilat yang berlaku di tiga buah daerah di negeri ini sejak awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sembilan berkata, tiga buah daerah yang terlibat adalah di Kuala Pilah, Tampin dan Jempol yang mana kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta kawasan lain yang selamat.
“Di Felda Jelai 4, Gemas (Tampin), sebanyak 141 mangsa dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4, 20 orang mangsa banjir di Felda Palong 1 (Jempol) pula dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Palong 1.
“Seramai 13 orang mangsa banjir di Kampung Geduk (Tampin) pula dipindahkan ke Masjid Kariah Kampung Geduk dan 11 mangsa banjir di Kuala Johol (Kuala Pilah) dipindahkan ke tempat selamat.
“Di Kampung Tengah, Gemencheh (Tampin) dan sebuah Homestay di Sri Menanti pula masing-masing tujuh orang mangsa juga dipindahkan ke tempat selamat atau rumah saudara mara mereka,” katanya.
Di Kampung Baru Geduk (Tampin) pula seramai enam orang mangsa banjir dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Kampung Geduk manakala lima orang mangsa di Kampung Tenai dipindahkan ke Masjid Kariah Kampung Geduk. – UTUSAN ONLINE