JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Tanah Tinggi, Lereng Bukit dan Cerun bertujuan untuk menyelia projek pembinaan melibatkan kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, kertas kerja bagi cadangan itu sedang disediakan dan ia akan menjadi rujukan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan tiada lagi pembinaan di kawasan itu dilakukan sewenang-wenangnya.
“Pembangunan di kawasan tanah tinggi perlu dilihat semula, kita tidak mahu orang ratakan bukit sesuka hati kerana ia akan beri kesan yang banyak kepada permukaan bumi dan alam sekitar.
“Oleh kerana tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, jadi jawatankuasa akan dibuat di mana kalau ada pembangunan melibatkan tanah tinggi perlu rujuk kepada jawatankuasa ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pensijilan ISO 9001:2015 Perbadanan Pengurusan Pinang 3, Taman Daya, di sini hari ini.
Tambah Ayub, pembangunan di kawasan tersebut di negeri ini perlu menjadikan negara luar sebagai contoh dalam mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar.
“Kalau di luar negara, pembangunan yang dibuat di kawasan tanah tinggi mengikut kepada bentuk permukaan tanah, mereka tidak meratakan bukit atau memotong tanah dengan berlebihan. Tetapi di sini banyak pembangunan dia potong bukit dan itu beri kesan kepada bentuk muka bumi dan aliran air,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ayub berkata, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan Greater Johor Bahru melalui kerjasama tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Katanya, kertas kerja bagi pelaksanaan program itu sedang disediakan sebelum diserah kepada kerajaan Pusat untuk penilaian dengan turut meletakkan Singapura sebagai negara rujukan.
“Perkara ini sedang dirancang dan kita juga tidak perlu pergi jauh untuk melihat model yang boleh dicontohi, cukup dengan melihat negara jiran iaitu Singapura, mereka merupakan antara 10 negara terbersih di dunia.
“Pengurusan bandar, infrastruktur asas seperti jalan raya dan landskap semuanya bertaraf dunia, jika kita tidak mampu mencapai tahap 90 peratus sekalipun, tahap 50 peratus sudah memadai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menanggung hutang tertunggak bayaran penyelenggaraan bulanan bagi program Rumah Kos Rendah dan Rumah Sewa Kerajaan lebih RM24 juta melibatkan 13,000 unit kediaman sejak program itu dilaksana lebih 20 tahun lalu.