JOHOR BAHRU: Prosedur operasi standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid serta surau negeri ini terus dikekalkan dengan jarak setengah meter biarpun terdapat masjid dikesan berlakunya penularan Covid-19, Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, kes penularan Covid-19 yang dilaporkan di Taman Sri Pulai Perdana, di sini yang melibatkan jemaah masjid dan penduduk setempat tidak mengubah ketetapan SOP itu.
“Kita akan kekalkan jarak sedia ada iaitu setengah meter, bagi solat Jumaat dan fardu lima waktu di masjid dan surau di negeri ini yang sudah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, minggu lalu. Walaupun ada berlaku kes penularan Covid-19 yang dilaporkan di Masjid Taman Sri Pulai Perdana, ia tidak akan mengubah ketetapan itu. Ia berikutan masjid dan surau di kawasan berkenaan sudah diarah ditutup sementara bagi mengelak penularan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan misi bantuan pasca banjir Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Pada 5 Januari lalu, Sultan Johor berkenan supaya pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dijarakkan hanya setengah meter berbanding satu meter, sebelum ini yang berkuat kuasa bermula 7 Januari hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurut Tosrin, pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan mengenai pengesanan 47 kes positif Covid-19 dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana. – UTUSAN ONLINE