Jangkitan Covid-19 di SMS Tuanku Munawir meningkat kepada 134 pelajar - Utusan Malaysia

Jangkitan Covid-19 di SMS Tuanku Munawir meningkat kepada 134 pelajar

SERAMAI 134 pelajar SMS Tuanku Munawir, Seremban dikesan positif Covid-19 setakat tengah malam tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah kes jangkitan Covid-19 bagi Kluster Jalan Sikamat yang membabitkan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir di sini meningkat kepada 134 orang pelajar sehingga tengah malam tadi.

Menurut kenyataan edaran dalaman sekolah berkenaan, daripada jumlah tersebut seramai 96 pelajar adalah daripada tingkatan lima dan selebihnya iaitu 38 pelajar adalah daripada tingkatan 4. 

Menurut kenyataan itu lagi, bagi guru-guru dan semua anggota sokongan sekolah keputusan ujian saringan Covid-19 adalah 100 peratus negatif.

“Bagi yang pelajar positif ujian Covid-19, seramai 48 orang telah dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tampin oleh Kementerian Kesihatan.  

“Daripada 48 pelajar tersebut, tiga orang telah disahkan sihat dan telah kembali ke sekolah semalam. Baki pelajar lain yang positif masih berada di sekolah. 

“Pihak kami (sekolah) sedang menunggu arahan dari pihak KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, keadaan ketika ini adalah selamat dan terkawal dengan segala arahan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kes Covid-19 telah dipatuhi.

“Anak-anak juga memberikan kerjasama yang baik dalam setiap urusan. Terima kasih kepada pihak ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan sepanjang masa kami menguruskan kes penularan Covid-19,” katanya.

Semalam Utusan Online melaporkan kluster pendidikan turut dicatatkan membabitkan SMS Tuanku Munawir di sini

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, tindakan sanitasi telah dijalankan susulan pengesanan kes Covid-19 daripada saringan bergejala pelajar.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN