Jangan tutup pintu pelancongan Langkawi - Armishah - Utusan Malaysia

Jangan tutup pintu pelancongan Langkawi – Armishah

ARMISHAH SIRAJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerajaan Pusat diminta tidak mengambil tindakan menutup pintu pelancongan ke pulau peranginan ini berikutan penularan varian, Omicron di negara ini.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj berkata, penutupan pulau ini akan menjejaskan pendapatan kira-kira 90 peratus penduduk yang bergantung pada sumber pelancongan sebagai mata pencarian untuk menyara keluarga.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di pulau ini melahirkan kebimbangan pulau legenda ini kembali kekurangan pelancong dan mereka hilang pekerjaan sekiranya ditutup semula seperti yang dihadapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula pada Mac 2020.

Katanya, penduduk di Pulau Langkawi mahu kemeriahan pulau ini dapat diteruskan dengan jumlah kehadiran pelancong lebih tinggi sejak gelembung pelancongan Langkawi diperkenalkan tahun lalu.

“Selaku anak jati Langkawi, besarlah harapan saya agar wabak Omicron yang dikesan di negara ini tidak menyebabkan kerajaan menarik ‘hand brake’ dalam sektor pelancongan menerusi program gelembung pelancongan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri mulai 16 September 2021 lalu,” katanya di sini hari ini.

Armishah memberitahu, sepanjang tempoh PKP sehingga Langkawi dibuka semula, industri pelancongan di pulau ini mencatat kerugian secara kasarnya lebih RM5.4 bilion.

“Pengusaha pelancongan di Langkawi dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini baru dapat bernafas semula dengan kemasukan pelancong pada sepanjang 2021 sahaja berjumlah 1.1 juta dengan perolehan pendapatan dalam sektor itu kira-kira RM800 juta,” ujarnya.

Beliau menambah, pada masa sama, kerajaan boleh memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pelancong yang memasuki pulau ini untuk mengekang penularan Covid-19 terutamanya selepas dikesan varian, Omicron.

Selain itu, katanya, tindakan proaktif juga perlu diambil oleh pengusaha hotel dan operator pelancongan termasuk perkhidmatan feri dalam mencegah penularan Covid-19, selain memastikan pelancong sentiasa mematuhi SOP.

“Langkah langkah pencegahan termasuk sanitasi awam, penjagaan kebersihan, peraturan dan tatacara pelancong untuk beraktiviti di pulau ini juga boleh dinilai semula untuk ditambah baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya