PETALING JAYA : Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kesal dengan sikap `acuh tak acuh’ Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terhadap Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadualkan bermula pada 3 Mac ini.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, pada Jun 2021 persatuan itu telah mendaftar LTdL 2022 atas inisiatif sendiri bagi memastikan perlumbaan tersebut kekal dalam kalendar tahunan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
LTdL 2022 dijadualkan pada Mac ini kerana secara tradisi perlumbaan itu dianggap antara paling berprestij di Asia dengan diadakan awal tahun, sama ada pada Februari atau Mac.
“Untuk LTdL 2022, kami difahamkan KBS masih mempunyai baki kontrak dengan Human Voyage.
“Kami dengar Human Voyage cuba menukar tarikh LTdL 2022 dari 3 Mac 2022 kepada Julai 2022 tanpa pengetahuan PKBM.
“Saya ingin tegaskan, PKBM adalah pemilik Le Tour de Langkawi dan Human Voyage ialah penganjur kejohanan. KBS pula pihak berkuasa yang memberi dana kepada Human Voyage. Ini jelas dan tiada dakwa-dakwi dalam hal ini.
“Justeru, untuk melancarkan penganjuran LTdL 2022, PKBM telah berkali-kali mengutus surat kepada Human Voyage, namun tidak diendahkan sama sekali oleh mereka. Kami juga sudah dua kali menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) bermula September 2021,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco PKBM 2022 semalam.
Dalam pada itu, Abu Samah menjelaskan sehingga kini KBS masih berdiam diri tanpa sebarang maklum balas dan situasi ini membuat PKBM keliru.
“Sehingga sekarang, belum ada sebarang surat balasan daripada pejabat Menteri. Inilah yang menggusarkan PKBM kerana tarikh asal yang didaftarkan dengan UCI iaitu 3 Mac dan ia telah hampir tiba, manakala tarikh cadangan Human Voyage pula pada Julai tetapi tiada makluman rasmi kepada kami.
“Dalam hal ini, kami sangat keliru dan sedih dengan sikap KBS yang tidak memberikan pendirian rasmi tentang LTdL 2022. PKBM percaya LTdL 2022 tidak boleh diadakan mengikut tarikh asal kerana terlalu suntuk,” ujarnya.