PUTRAJAYA: Pos Malaysia Berhad mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali cuba menghantar bungkusan yang mengandungi ular sama ada ia masih hidup atau pun sudah mati.
Peringatan mesra itu disampaikan agensi berkenaan menerusi laman sosial rasminya tanpa merujuk mana-mana kes insiden pengiriman reptilia tersebut dalam bungkusan pos.
“Menurut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, haiwan yang hidup atau mati, atau bahagian organnya tidak boleh dihantar melalui pos dan pengirimnya juga boleh didakwa,” tegasnya.
Pihak Pos Malaysia Berhad turut melampirkan pautan daripada laman sesawang rasminya mengenai pelbagai lagi jenis barangan yang memang dilarang tegas untuk tujuan pengeposan.
Berdasarkan senarai berkenaan, segala haiwan liar atau jinak termasuk burung, serangga bahkan telur, larva dan gading antara yang ditegah dikirim secara pos ke mana-mana destinasi.
Pengharaman tersebut juga adalah sejajar dengan pewartaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 di bawah Peraturan-Peraturan Perkhidmatan (Kaedah-kaedah Pejabat Pos 1947) Pindaan 2020.
Langkah itu yang turut dilaksanakan di semua negara anggota Pertubuhan Komanwel Britain, bukan sahaja menjaga keselamatan petugas pos malah melindungi kebajikan haiwan tersebut.
Pos Malaysia Berhad pernah merekodkan penghantaran ular pada 2018 lalu melibatkan satu bungkusan Pos Laju dari Gopeng, Perak ke asrama di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Mujur beberapa staf agensi itu membuka bungkusan tersebut yang diikrarkan sebagai kasut bola, setelah curiga melihat ia bergerak dan berita ini mendapat liputan luas di seluruh dunia.
Justeru, larangan pengeposan haiwan dalam bungkusan adalah juga selaras Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) yang menyenaraikan aneka bentuk kes kezaliman terhadap hidupan itu.
Mereka yang didapati mendera binatang boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 39 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang menetapkan hukuman penjara tidak lebih daripada tiga tahun.
Individu yang disabitkan kesalahan tersebut turut boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 setelah undang-undang berkenaan dikuatkuasakan Parlimen pada pertengahan 2017 lalu. – UTUSAN