ALOR GAJAH: Para peniaga restoran asam pedas di Melaka dinasihatkan agar tidak menaikkan harga jualan sesuka hati, meskipun wujud kenaikan harga beberapa bahan mentah sejak akhir-akhir ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, situasi itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menekan penggemar makanan ikonik tersebut dengan harga tinggi terutamanya pelancong dari luar negeri ini.
Katanya, ini kerana beberapa bahan untuk penyediaan sajian berkenaan adalah barangan kawalan yang harganya dikawal kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Saya yakin kalau harga turun atau dikekalkan dan kuantitinya banyak, orang ramai pasti akan datang, tambah-tambah bila pintu sempadan negeri telah dibuka dan pelancong akan sentiasa datang ke Melaka.
“Kalau boleh janganlah naikkan harga terlalu tinggi. Kita faham ada beberapa barang mentah alami kenaikan harga.
“Tetapi ia bukan berterusan kerana ada di antaranya dikawal dari sudut harga oleh KPDNHEP, jadi saya harap turunkanlah harga sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar memaklumkan, seorang peniaga asam pedas telah diberi notis selepas pihaknya menerima aduan kenaikan harga daripada orang awam.
Katanya, hasil pemantauan mendapati, peniaga di daerah Melaka Tengah itu didapati menaikkan harga tanpa alasan munasabah.
“Setakat ini hanya satu peniaga yang telah diberikan notis kerana menaikkan harga jualan asam pedas yang terlalu tinggi,” katanya. -UTUSAN