IPOH: Ummah bertanggungjawab melindungi Islam daripada dijadikan bahan jenaka dan bahan ketawa melalui upacara atau perbuatan berunsur syirik yang dilakukan di tempat awam untuk tontonan umum.
Dalam teks Khutbah Jumaat yang dibacakan di masjid-masjid di Perak hari ini menegaskan perbuatan berunsur syirik itu boleh mencemarkan kesucian agama serta menjatuhkan maruah umat Islam.
Teks itu meminta umat Islam menjauhi khurafat demi membina generasi yang bertakwa manakala adab sopan beramal yang ditetapkan oleh Islam wajib dilindungi dan dihormati pada setiap masa. v
Khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk Amalan Khurafat Merosakkan Akidah itu menyatakan amalan-amalan khurafat yang telah sekian lamaberakar umbi masih berlaku walaupun masyarakat Melayu telah menganut Islam sejak beratus tahun lalu.
“Begitu juga, meskipun dunia telah melalui era moden berlandaskan sains dan teknologi, dan masyarakat Melayu sudah lebih terpelajar, namun sebahagian kepercayaan dan amalan yang mengandungi unsur-unsur syirik masih terus dilakukan oleh segelintir masyarakat kita.
“Menurut istilah Usuluddin dan Falsafah Islam, khurafat bermaksud cerita karut, sama ada rekaan dan khayalan; atau perbuatan, sama ada ajaran, adat, pantang larang, ramalan dan pemujaan; atau kepercayaan yang bercanggah dengan syariat dan akal,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, disebabkan kecetekan pengetahuan dan kelemahan penghayatan agama, kepercayaan terhadap unsur-unsur mistik yang merosakkan akidah dan mendorong kekufuran seperti percaya kepada tangkal, azimat, ilmu pengasih, ilmu hitam, membuang sial, melariskan perniagaan dan seumpamanya masih lagi berlaku.
Selain itu, jelasnya lagi, antara bentuk khurafat moden yang dipercayai oleh segelintir anggota masyarakat ialah kepercayaan kepada bintang dan angka tertentu yang didakwa boleh membawa tuah atau sial.
Ia menyebabkan ada yang tidak selesa apabila diberikan angka tertentu sama ada angka giliran, nombor rumah atau bilik, nombor kenderaan dan pelbagai lagi, begitu juga kepercayaan kepada ramalan bintang serta menilik tuah dan nasib yang dihubungkan dengan tarikh kelahiran.
Teks itu bagaimanapun tidak menafikan kaedah perubatan tradisional yang sekian lama berperanan sebagai pelengkap kepada kaedah perubatan moden kerana kaedah perubatan tradisional ada unsur-unsur yang dapat memberikan kekuatan rohaniah, dalaman dan psikologi.
Jelasnya, Islam membenarkan perubatan secara rohaniah, tetapi hendaklah berlandaskan syarak tanpa ada unsur-unsur khurafat dan syirik seperti mencampur aduk ayat-ayat al-Quran dalam mantera yang menyeru pertolongan makhluk halus, dengan memanggil roh datuk nenek, roh wali-wali, syeikh dan khadam tertentu.
Dalam sejarah Islam, wujud cara perubatan tertentu sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, selawat, zikir dan doa-doa khusus, sebagai pelindung, pendinding dan penawar bagi mengubati penyakit.
“Ibnu Qayyim al-Jauziyah menerusi karyanya at-Tib an-Nabawi menjelaskan bahawa Rasulullah menggunakan tiga asas ubatan untuk merawat penyakit iaitu, bahan semula jadi, amalan kerohanian dan gabungan daripada kedua-duanya.
“Kaedah rawatan berunsur rohaniah dibenarkan selagi mana tidak menggunakan bahan kotor seperti najis, berunsur khurafat, tangkal, azimat, serapah mantera yang bercampur aduk, dan tidak melibatkan makhluk halus, jin, syaitan dan iblis,” terang teks tersebut.
Untuk melindungi umat Islam daripada terperangkap dengan amalan-amalan berunsur khurafat, teks tersebut memberikan beberapa panduan iaitu menjauhi dan meninggalkan amalan-amalan yang tidak berdasarkan nas-nas syarak sama ada al-Quran atau hadis.
Kedua, tidak mempercayai cerita-cerita rekaan, dongeng atau khayalan yang bersumberkan kepercayaan-kepercayaan karut, dan tidak lagi meneruskan adat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Ketiga, tidak menyandarkan hajat atau permohonan kepada bantuan makhluk halus atau seruan mendapat pertolongan daripada roh-roh yang telah berada di alam barzakh serta tidak melakukan pemujaan kepada kubur, telaga, busut, pokok, senjata lama, selendang dan sebagainya dengan kepercayaan objek-objek tersebut dapat membantu untuk mencapai sesuatu hajat.
Selain itu, antara kaedah yang dianjurkan untuk membantu manusia mendapat ketenangan ketika gelisah berhadapan ujian, sama ada berbentuk penyakit, kesusahan, kesulitan, musibah dan bala, ialah memperbanyakkan beristighfar memohon keampunan Allah dan memperbanyakkan doa dengan yakin dan bersungguh-sungguh.
“Umat Islam juga harus memperbanyak zikir munajat beserta solat sunat hajat dan solat sunat istikharah, bertawassul dengan nama-nama Allah yang mulia, amalan kebaikan peribadi dan doa orang-orang soleh.
“Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin dan anak-anak yatim kerana doa penerima sedekah itu amat hampir dengan Allah,” ujar teks tersebut. – UTUSAN ONLINE