Jangan ambil keputusan sendiri - Hakim - Utusan Malaysia

Jangan ambil keputusan sendiri – Hakim

DANIEL Iskandar hadir ke Mahkamah Tinggi bagi mendengar semakan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menegur dan menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil keputusan dalam tangan sendirim sebaliknya menyerahkan ia untuk disiasat dan dibicarakan dan dihukum oleh mahkamah.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman berkata, kejadian yang berlaku dalam kes pesalah muda, Daniel Iskandar yang berusia 18 tahun 4 bulan apabila ditangkap dan ‘dimandikan’ sebelum videonya dirakam dan menjadi viral perlu dijadikan sebagai pengajaran buat semua.

Menurutnya, tindakan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) masjid menangkap pesalah tidak menjadi satu isu, malah ia dibenarkan.

“Bagaimanapun, yang menjadi perhatian ialah langkah seterusnya apabila AJK menghukum dengan memandikan pesalah sebagai jenazah, cuma tak lakukan kafan sahaja. Di bawah kuasa mana tindakan itu dilakukan? Dari aspek perundangan, menangkap, siasat dan tahan perlu dilakukan oleh pihak berwajib yang berbeza tetapi dalam kes ini, terus ditangkap dan dihukum oleh AJK masjid. Ini tindakan keterlaluan,” katanya.

Abd. Halim turut mengingatkan masyarakat supaya menghentikan perbuatan merakam dan melakukan video viral selain mahu mereka tidak mengambil undang-undang dalam tangan sendiri.

“Apa tujuan (merakam dan viral)? Mungkin niat untuk memberikan pengajaran namun sedarlah akhirnya perbuatan itu telah mengaibkan. Hentikan (perbuatan merakam untuk viral) sebab belum tentu orang yang melakukan video viral ini bersih di akhirat. Jadikan kes ini sebagai iktibar buat semua,” ujarnya.

Bagi memberikan kebaikan kepada semua pihak selain tidak mahu perkara ini dipanjangkan, mahkamah menyarankan supaya pihak AJK masjid, pihak yang merakam dan melakukan video viral supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pesalah muda. 

“Jika saranan ini dipersetujui, saya meminta pihak Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPPM) mengatur sebagai pemudahcara. Ini bukan perintah, cuma saranan demi kebaikan semua pihak supaya ia tidak berpanjangan,” ujarnya.

Sementara itu, ibu Daniel, Jasma Rosli, 41, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih dengan pandangan yang diberikan oleh banyak pihak demi kebaikan masa depan anaknya.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang sudi memaafkan kesalahan dia. Kejadian ini memberi pengajaran kepada kami. Apa pun kesalahan dia berpunca daripada kami sebagai ibu bapa. Saya minta semua ibu bapa tolong prihatin kepada anak-anak, saya akui kesilapan ibu bapa punca anak ini terabai. Saya tidak salahkan mana-mana pihak, bagi saya ini kecuaian dan kesilapan saya. Pada masa ini, saya mahu dia mendapat pendidikan dan pengajaran kepadanya, itu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya