PETALING JAYA : Negeri Sembilan FC (NSFC) memilih untuk ‘menyalin kulit’ importnya apabila membuat keputusan menggugurkan kesemua empat importnya musim lalu dengan membawa masuk pemain baharu.
Arthur Cunha bersama semua import lain termasuk Francis Kone, Alain Akono dan Bae Beom-geun tidak disambung kontrak bersama pasukan meskipun mereka berjaya membantu skuad Hobin Jang Hobin muncul juara Liga Perdana 2021.
Setakat ini, dua pemain import baharu telah dibawa masuk oleh jurulatih K.Devan iaitu bekas pertahanan import Sri Pahang FC, Herold Goulon dan David Mawutor dari Ghana.
Kehadiran beberapa pemain berpengalaman terutama di bahagian pertahanan membuatkan Annas Rahmat mampu tersenyum dalam mengharungi cabaran di Liga Super musim ini.
Goulon dan bekas pemain Sarawak United FC, Khair Jones akan menjadi rakan sepasukan pada musim ini, berdasarkan kualiti fizikal serta teknikal yang dimiliki mereka berdua, dia mengharapkan benteng Negeri Sembilan akan lebih kukuh berbanding musim lalu.
“Kita tahu persembahan Goulon sepanjang bersama Sri Pahang sebelum ini malah dia juga boleh menjaringkan gol untuk pasukan, rasanya kita tidak boleh lupa jaringan semasa dengan Perak, pada tiga musim lalu.
“Kualiti fizikal yang dimiliki Goulon juga sememangnya boleh jadi nilai tambah kepada benteng pasukan malah dia juga sudah ada pengalaman beberapa tahun bermain di Liga Malaysia.
“Saya pernah menjadi rakan sepasukan Jones dua tahun lalu di Melaka dan amat mengenali kemampuan dia yang saya sifatkan antara pemain yang bagus.
“Dia sememangnya pemain yang gunakan kaki kiri, itu memang perkara yang dimahukan bagi posisi pertahanan kiri, saya harap ketinggiannya juga boleh membantu pasukan,”ujarnya.
Tiga lagi pemain import baharu yang dijangka akan beraksi di posisi serangan akan diumumkan oleh Negeri Sembilan dalam masa terdekat.