SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan diminta segera membina sebuah jambatan menghubungkan ke Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Rotan di sini.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia selepas sebuah jambatan yang merentasi sungai untuk ke tanah perkuburan itu runtuh akibat bencana banjir baru-baru ini.
Jelas beliau, ketiadaan jambatan itu menyebabkan berlaku insiden jenazah terpaksa diusung merentasi sungai untuk urusan dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.
“Kematian yang berlaku pada hari ini (semalam) sepatutnya membuka mata dan mengetuk pintu hati pihak yang berwajib.
“Sebelum ini, jalan untuk ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Rotan ini dihubungkan oleh dua buah jambatan. Pada Mei tahun lalu, jambatan yang pertama runtuh akibat dilalui lori yang melebihi muatan dan semenjak jambatan itu runtuh, permohonan untuk dibina semula kepada kerajaan negeri telah dilakukan.
“Keadaan tidak terlalu mendesak ketika itu kerana terdapat satu lagi jambatan alternatif yang merentasi sungai untuk ke tanah perkuburan tersebut tetapi Allah Maha Besar. Perancangan-Nya lebih baik daripada perancangan manusia, ditakdirkan Tuhan, jambatan alternatif itu juga telah runtuh akibat bencana banjir tempoh hari,” katanya menerusi Facebook semalam.
Jelas beliau, kes kematian yang berlaku semalam merupakan yang pertama yang terpaksa dikebumikan di tanah perkuburan tersebut setelah ketiadaan kedua-dua jambatan perhubungan itu.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pemuda dan penduduk kampung Sungai Rotan yang telah bekerjasama dan bertungkus lumus membantu menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarham pada hari ini (semalam).
“Saya mendapat maklumat bahawa sudah terdapat kontraktor yang dilantik untuk membina semula jambatan itu, namun begitu, sehingga ke saat ini tidak ada sebarang kerja-kerja pembinaan yang dilakukan.
“Saya amat berharap agar keadaan pada hari ini membuka mata kerajaan negeri agar segerakan pembinaan jambatan ini. Janganlah sampai penduduk kampung terpaksa melalui keadaan ini sekali lagi,” katanya.