SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) diarah memperbaiki segera struktur jambatan gantung usang di Kampung Nelayan Tengah yang dilihat mendatangkan risiko keselamatan kepada pelajar sekolah.
Arahan itu susulan gambar tular daripada sebuah agensi berita yang menunjukkan murid sekolah menyeberangi jambatan gantung usang pada hari pertama sesi persekolahan semalam.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil maklum tentang keadaan itu dan telah mengarahkan MPS memperbaiki segera jambatan gantung berkenaan.
Menteri Kerja Raya itu berkata, memandangkan kemudahan infrastruktur itu berada di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan maka, MPS diarahkan untuk melaksanakan tugas mereka untuk memperbaiki jambatan tersebut.
Katanya, kemudahan infrastruktur penting sebegitu tidak sepatutnya dibiarkan tanpa ada penyelenggaraan kerana itu adalah laluan pelajar menuju ke sekolah. Maka, kerja-kerja pembaikan perlu disegerakan demi keselamatan pelajar.
“Saya sudah mengarahkan pihak MPS untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Kerajaan amat mengambil berat perkara seumpama ini, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan keselamatan murid dan pelajar sekolah,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kerajaan amat mengambil berat tentang aspek keselamatan pengguna terutama apabila ia membabitkan keselamatan pelajar sekolah.
Gambar yang dipaparkan menerusi agensi berita itu menunjukkan murid sekolah dari Kampung Nelayan Tengah sedang menyeberangi jambatan gantung usang untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sibuga Besar.
Murid sekolah dilihat terpaksa berpegang pada dinding jambatan kerana sebahagian struktur lantai jambatan sudah rosak.