LIPIS: Puluhan kenderaan ringan di laluan dua hala Jalan Persekutuan Lipis – Jerantut terpaksa melalui jalan alternatif berikutan jalan raya di hadapan Sekolah Menengah Kerambit (SMK) dekat sini mula dinaiki air pada pukul 2 petang hari ini.
Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Lipis, berkata, senario banjir mula menenggelami di beberapa laluan utama antara kedua daerah bermula sejak semalam berikutan berlaku gelombang kedua bencana berkenaan.
“Laluan di hadapan SMK Kerambit lazimnya ditenggelami banjir ketika musim tengkujuh dan kita sudah meletakkan papan tanda amaran di kedua hala laluan.
“Jalan ini ditenggelami air sedalam 0.4 meter (m) dan panjang kawasan terlibat 330 m pada pukul 2 petang hari ini dan ditutup kepada kenderaan ringan, manakala apabila air di paras 0.76 m, laluan ini akan ditutup kepada semua kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut jurucakap tersebut, pengguna dinasihatkan melalui laluan alternatif , iaitu Jalan Lipis – Kerambit, Jalan Kerambit – Jerangsang dan Jalan Benta ke Jerantut untuk ke destinasi masing-masing.
Sementara itu, penduduk Tanjung Buluh, Najid Abu berkata, jalan berkenaan ditenggelami banjir apabila air Sungai Jelai melimpah masuk sejak malam semalam.
“Sehingga petang ini, trend air Sungai Jelai menaik memandangkan hujan lebat masih turun di merata kawasan termasuk bandar Kuala Lipis dan kampung pesisir sungai ini mengalami keadaan yang sama,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE