PETALING JAYA: Keupayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan hampir 400 graduan Doktor Falsafah (PhD) setahun bukanlah suatu perkara yang ‘janggal’.
Majlis Persatuan Akademik Universiti Awam (MPPA) berpendapat, mana-mana pihak yang mempertikai keupayaan universiti itu hanya menimbulkan persepsi negatif terhadap kualiti UPM sekali gus secara tidak langsung seolah-olah pensyarah dan penyelia yang menyelia calon-calon PhD, menyelia dengan sambil lewa dan hanya mementingkan kuantiti berbanding kualiti.
Katanya, sepertimana yang sedia maklum, UPM sememangnya sebuah universiti awam yang ternama dan sentiasa berada di kedudukan sekurang-kurangnya lima yang terbaik di negara serta berkedudukan yang baik sama ada di peringkat Asia mahupun dunia.
“Justeru, ia bukanlah suatu yang ‘janggal’ sekiranya UPM mampu menghasilkan sejumlah graduan PhD seperti mana yang didakwa.
“Dunia akademik juga sedia maklum, perjalanan untuk melengkapkan pengajian di peringkat PhD bukanlah suatu proses yang mudah, ringkas dan boleh dianugerahkan sewenang-wenangnya.
“Setiap graduan perlu melalui proses pengajian terutama mereka yang perlu menghasilkan tesis atau disertasi dan kemudian perlu diselia sambil tesis tersebut pula perlu melalui proses penilaian sama ada oleh penilai dalam mahupun penilai luar.
“Kemuncaknya setiap graduan perlu melengkapkan pula sesi pembentangan yang dikenali sebagai viva voce dan pada akhirnya jika lulus, maka ia perlu disahkan pula di peringkat senat,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, media melaporkan, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin mempersoalkan keupayaan UPM menghasilkan jumlah graduan PhD yang didakwa terlalu ramai.
Mengulas lanjut, MPPA berpandangan, pihaknya tidak mahu sekiranya pandangan sebegitu tidak ditangani dengan baik dan secara tidak langsung menimbulkan rasa kurang senang di kalangan tenaga pengajar seluruh negara.
Katanya, ini kerana ia dikhuatiri mampu menimbulkan persepsi negatif bukan sahaja terhadap pengajar di UPM malahan di pelbagai institusi yang lain juga.
Jelasnya, MPPA juga tidak mahu melihat isu yang membabitkan universiti awam dilihat sebagai isu politik hanya kerana ia dibangkitkan oleh ahli politik.
“Kami menghormati peranan dan jawatan yang dipangku sebahagian ahli politik, malah kami juga tidak mempunyai masalah untuk memberikan pandangan demi melihat negara Malaysia yang kita cintai ini berada di landasan tepat untuk menjadi negara maju.
“Kita juga sedia maklum, sejak sekian lama kita ingin melihat Malaysia menjadi antara ‘kuasa’ besar dalam bidang pendidikan tinggi khususnya di peringkat serantau, maka kami amat mengalu-alukan pandangan yang mampu menyumbang ke arah pembangunan pendidikan tinggi Malaysia.” ujarnya.
Selain itu, MPPA menambah, kerajaan juga sudah menetapkan sasaran tertentu dalam menghasilkan jumlah graduan PhD di mana jumlah graduan terkini masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan dan walaupun ia dilihat sebagai mengejar kuantiti, namun pihaknya percaya kualiti tetap diutamakan.
“Oleh itu, MPPA berharap agar pada masa akan datang, pandangan yang lebih ‘adil’ dapat diberikan bagi mengelakkan persepsi negatif dan tindak balas masyarakat di masa depan sekali gus menimbulkan imej yang tidak baik terhadap pendidikan tinggi negara.
“MPPA yang mewakili persatuan akademik di negara ini yang memayungi sebahagian besar pensyarah yang masih berkhidmat di universiti awam juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan banyak lagi pihak demi melihat pendidikan tinggi negara ini benar-benar mencapai matlamat untuk melihat kemajuan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE