PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli mendakwa bekas majikannya yang juga jutawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida mungkin mengalami penyakit kecelaruan personaliti narsistik (NPD).
Dakwaan tersebut dilakukan penyanyi lagu Hujan itu menerusi Instastory di entri Instagram miliknya.
Dakwa Iqbal, antara petanda yang menunjukkan seseorang itu mengalami penyakit tersebut adalah sering membuli orang lain untuk menaikkan nama.
Malah, dia juga ada menyatakan beberapa lagi petanda yang ditunjukkan seseorang yang mempunyai penyakit tersebut dan mendakwa Vida juga memiliki petanda sama.
“Saya rasa Datuk Seri Vida ada penyakit kecelaruan personaliti narsistik (NPD). Kalian tidak sedarkah dia sering membuli orang untuk menaikkan nama sendiri?
“NPD adalah orang yang suka memanipulasi, suka menyalahkan orang lain atas kesalahan sendiri namun sangat mudah tersentuh jika menerima sedikit teguran,” dakwanya.
Mengulas lanjut, Iqbal turut mendakwa seseorang yang menghidap penyakit ini akan membuatkan mangsanya sengsara andai dia tidak memperoleh apa yang diinginkan.
“Kadang orang berpenyakit ini tidak sedar dirinya sedang berbohong. Suka berfantasi dirinya paling berkuasa.
“Orang yang mengalami masalah mental ini akan membuatkan mangsa sengsara jika tidak dapat apa yang diinginkan,” dakwanya lagi.
Difahamkan, Iqbal tampil bersuara selepas jutawan kosmetik itu tular selepas video dia mendakwa penyanyi, Anuar Zain sebagai seorang yang menjalinkan hubungan sejenis.