Inflasi negara meningkat 3.2 peratus kesan kenaikan harga makanan, bahan api - Utusan Malaysia

Inflasi negara meningkat 3.2 peratus kesan kenaikan harga makanan, bahan api

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi negara mencatatkan peningkatan 3.2 peratus apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Disember 2021 mencatat 124.5 berbanding 120.6 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya, berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 iaitu 1.9 peratus.

“Peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol adalah 3.2 peratus dan kumpulan pengangkutan adalah 9.5 peratus.

“Kadar inflasi 3.2 peratus pada Disember 2021 juga didorong oleh kenaikan harga kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.4 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.7 peratus) serta restoran dan hotel (1.3 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, peningkatan indeks harga kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol disebabkan harga bahan mentah yang lebih tinggi bagi penyediaan makanan di rumah seperti daging (8.3 peratus); susu, keju dan telur (5.5 peratus); sayur-sayuran (5.0 peratus); minyak dan lemak (4.4 peratus) serta ikan dan makanan laut (4.2 peratus).

Katanya, ayam yang merupakan komponen terbesar dalam daging meningkat 13.6 peratus dan merekodkan purata harga RM9.54 per kilogram berbanding RM8.40 pada Disember 2020.

Selain itu, katanya, telur yang merupakan salah satu lagi sumber protein mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 13.5 peratus pada Disember 2021 manakala susu pula meningkat 3.0 peratus.

Tambahnya, hujan lebat yang berlaku di beberapa negeri seperti di Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sepanjang Disember 2021 susulan peralihan Monsun Timur Laut telah mendorong kenaikan harga makanan terutamanya sayur-sayuran dan ikan serta makanan laut.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diumumkan oleh kerajaan sepanjang 7 hingga 31 Dis 2021 telah meredakan inflasi kumpulan ini.

“Peningkatan indeks harga kumpulan pengangkutan yang lebih perlahan berbanding November 2021 (12.7 peratus) disebabkan harga petrol tanpa plumbum RON95 pada Disember 2020 yang telah naik kepada RM1.74 seliter telah mengecilkan perbezaan antara harga siling petrol tanpa plumbum RON95 yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada Mac 2021 (RM2.05).

“Pada tahap tertentu, ia telah meredakan inflasi negara berbanding bulan sebelumnya (November 2021: 3.3 peratus),” katanya.

Namun, katanya, semua negeri menunjukkan peningkatan IHP apabila lapan negeri melepasi paras inflasi nasional iaitu 3.2 peratus.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu (3.9 peratus) manakala Sarawak (2.5 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.3 peratus) serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (2.0 peratus) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah.

Setakat ini, katanya, inflasi teras telah mencatatkan peningkatan 1.1 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah iaitu 2.7 peratus.

“Inflasi tanpa bahan api meningkat 2.0 peratus pada Disember 2021 kepada 115.1 berbanding 112.8 pada bulan sama pada tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, katanya, IHP bagi suku keempat 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.1 berbanding 120.3 pada suku tahun sama pada tahun sebelumnya.

“Bagi perbandingan suku tahunan, IHP mencatatkan peningkatan 1.2 peratus berbanding suku ketiga 2021. Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.4 peratus berbanding November 2021,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, kadar inflasi tahunan pada 2021 menunjukkan peningkatan 2.5 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada 2020.

“Peningkatan kadar inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun ia merupakan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara lain di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya