Impian 'kunci' kekuatan Barty - Utusan Malaysia

Impian ‘kunci’ kekuatan Barty

ASHLEIGH Barty (kanan) teruja berjaya melakar memenangi Terbuka Australia manakala pemain Amerika Syarikat Danielle Collins muncul naib juara.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE : Ashleigh Barty mendongak kepalanya dan menjerit sekuat hati selepas berjaya mencapai impiannya memenangi Terbuka Australia.

Lebih manis kejayaan itu bukan sahaja diraikan dihadapan penyokong sendiri tetapi turut menamatkan kemarau 44 tahun negara tersebut untuk juara perseorangan.

Peminat di Melbourne Park bersorak meraikan kejayaan pemain No.1 dunia itu yang bangkit daripada ketinggalan 5-1 di set kedua untuk menewaskan lawan dari Amerika Syarikat Danielle Collins 6-3 7-6(2) dan memenangi gelaran Grand Slam ketiganya.

“Ia sesuatu yang di luar jangkaan. Saya tidak tahu apa yang ingin dilakukan atau dirasai. Dapat melepaskan emosi sesuatu yang jarang saya lakukan dan dapat meraikan bersama penonton, tenaganya amat luar biasa malam ini (semalam),” ujarnya.

Sejak Barty memenangi gelaran major pertamanya di Roland Garros pada tahun 2019 dan mendaki ranking teratas dunia, dia mula diletakkan sebagai harapan untuk menamatkan kemarau kejuaraan pemain tempatan di Terbuka Australia.

Pemain berusia 26 tahun itu, hampir melakukannya pada tahun 2020 tetapi dia tewas di separuh akhir namun tahun 2022, Barty berjaya memenuhi jangkaan itu dengan menjadi pemain tempatan pertama memenangi gelaran perseorangan Grand Slam sejak Chris O’Neil menjuarai kategori wanita pada tahun 1978.

“Saya rasa harapan itu membuatkan saya sentiasa cuba untuk memberikan persembahan terbaik dan itu saja yang saya lakukan. Kini sebahagian impian saya sudah tercapai,” katanya.

Ashleigh Barty menjerit sekuat hati selepas muncul juara Terbuka Australia.-AFP

Barty kini sudah memenangi gelaran Grand Slam di tiga permukaan gelanggang berbeza, dengan juara major 23 kali Serena Williams satu-satunya pemain wanita yang masih aktif pernah melakukan perkara sama.

Sementara itu, Collins tetap berbangga selepas memberi tekanan Barty dalam perlawanan akhir Grand Slam pertamanya.

Pemain pilihan ke-27 dari Amerika Syarikat itu ternyata sangat kerdil menentang pilihan utama.

“Bukan keputusan yang saya mahukan tapi saya sudah berikan aksi terbaik. Saya berikan segala yang termampu dan memaksa diri untuk beri pada tahap maksimum dan mendapat peluang di penghujung saingan.

“Malang sekali ia tidak berjaya seperti diharapkan namun saya sudah buat sedaya termampu dan itu saja yang dicapai sehingga hari terakhir,” kata Danielle yang dijangka melonjak ke kelompok 10 terbaik buat kali pertama apabila ranking terbaru dikeluarkan minggu depan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya