GEORGETOWN: Bencana kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung dekat sini yang berlarutan sejak lebih dua minggu lalu disifatkan memberi kesan pada tahap minimum terhadap kualiti udara di kawasan lain di negeri ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ini kerana kesemua stesen pemantauan indeks kualiti udara (IPU) di Pulau Pinang mencatatkan status sederhana.
Jelasnya, stesen Seberang Jaya misalnya merekodkan bacaan IPU 75; Seberang Perai (68), Minden (66) dan Balik Pulau (68).
“Bacaan ini tidak begitu berbeza dengan bacaan yang dicatatkan di stesen-stesen lain di Kedah iaitu Sungai Petani (69) dan Alor Star (60).
“Bacaan IPU di Perak pula iaitu Lumut (65), Taiping (65) dan Ipoh (64) manakala Putrajaya mencatatkan bacaan IPU (63),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Bagaimanapun menurut Sharifah Zakiah, hanya stesen IPU sementara di Ladang Byram yang berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung mencatatkan bacaan lebih tinggi iaitu 92.
“Walaupun pencemaran boleh tersebar mengikut tiupan angin, namun impaknya ke atas kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang adalah minimum,” katanya.
Tapak pelupusan sampah di Pulau Burung itu mula dikesan terbakar kira-kira pukul 5 petang 12 Januari lalu dan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.
Asap daripada kebakaran itu juga menimbulkan kebimbangan orang awam mengenai penyebab berlakunya jerebu di beberapa kawasan di negeri ini.