Hutan Simpan Gunung Inas terbakar - Utusan Malaysia

Hutan Simpan Gunung Inas terbakar

ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di kawasan terbakar untuk memastikan punca api terpadam sepenuhnya dalam kebakaran hutan di Kompatment 5, Gunung Batu Putih, Hutan Simpan Gunung Inas berhampiran Kampung Keda Kemangi, Kupang, Baling hari ini. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Operasi memadam kebakaran hutan di Kompartement 5, Gunung Batu Putih, Hutan Simpan Gunung Inas berhampiran Kampung Keda Kemangi di sini mengalami kesukaran ekoran keadaan bentuk muka bumi dan bekalan air yang terhad.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Baling, Mohd. Jamil Mat Daud berkata, kebakaran tersebut yang melibatkan kawasan seluas 0.4 hektar itu mula berlaku sejak Isnin lalu.

Katanya, kebakaran hutan itu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca yang panas pada masa sekarang dan juga aktiviti pencarian pokok paku aji di sekitar kawasan hutan tersebut.

“Seramai 50 anggota dari Jabatan Pasukan Bomba dan Penyelamat Baling dan  Pasukan Khas MUSTeam Kedah, Pejabat Perhutanan Negeri, helikopter dari Unit Udara Aircraft Agusta 189 serta unit dron digunakan untuk membantu memadam kebakaran tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Keda Kemangi, Kupang di sini hari ini.

Menurutnya, kawasan yang berbukit dan curam setinggi 538 meter telah menyukarkan akses jentera bomba untuk masuk ke lokasi bagi tujuan memadam kebakaran.

Tambahnya, anggota bomba itu juga menghadapi kesukaran mendapatkan sumber air di puncak bukit sehingga terpaksa mengambil air dari tasik berhadapan Ibu Pejabat Polis Baling untuk memadam kebakaran.

“Unit Udara terpaksa menggunakan teknik ‘water bombing’ selama dua hari untuk memadam kebakaran tersebut yang berpunca dari puncak bukit dan merebak ke bawah bukit.

“Kita telah berjaya mengawal kebakaran tersebut dan menganggarkan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada lewat petang ini,” ujarnya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang melakukan aktiviti mendaki di kawasan bukit dan hutan agar tidak sewenang-wenangnya membuang puntung rokok atau melakukan aktiviti pembakaran kerana tindakan itu boleh menjadi salah satu punca kebakaran hutan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya