PETALING JAYA : Atlet pecut wanita kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat membantunya untuk mendapatkan pelepasan bagi menggunakan fasiliti yang terdapat di Institut Sukan Negara (ISN) meskipun namanya sudah digugurkan daripada program Majlis Sukan Negara (MSN).
Husniah,29, menyuarakan hasrat itu berikutan baharu pulih daripada kecederaan ligamen lutut (ACL) yang dialami tahun lalu dan masih memerlukan beberapa kelengkapan yang terdapat di ISN bagi mengekalkan keadaan kakinya.
“Saya sedikit risau sebab selepas ini susah untuk guna gym, urutan dan mandi ais… yang itulah yang menjadi kerisauan saya.
“Kecederaan yang saya alami ini sejak 2020 lagi, dan saya mendapat rawatan sepenuhnya di ISN sehingga September 2021.
“Penghujung Oktober lalu barulah saya dapat menjalani latihan di atas trek semula dan kemudian menyertai kejohanan Tertutup Malaysia pada Disember di MSN Bukit Jalil.
“Memang sukar untuk berlari semula sebab saya hanya mempunyai tempoh dua bulan sahaja selepas pulih kecederaan sebelum bertanding apatah lagi dengan keadaan Covid-19, saya sudah dua tahun tidak berlari,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Atlet kelahiran Kedah itu mensasarkan untuk melepasi ranking enam teratas bagi sesi kelayakan Sukan SEA pada Mac depan bagi membolehkannya beraksi di Sukan SEA Vietnam, Mei depan.
Dia percaya, jika prestasinya baik pada Sukan SEA, itu akan menjadi tiket awal baginya melayakkan diri ke dua lagi temasya sukan lain iaitu Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang turut akan diadakan pada tahun ini.
“Untuk ke Sukan SEA tahun ini, saya perlu dapatkan kedudukan enam terbaik untuk melayakkan diri, kemudian baru dipertimbangkan untuk ke Komanwel dan Sukan Asia, selepas itu baru MSN akan menilai prestasi saya untuk dimasukkan semula ke Program Podium,” kanta.
Mengulas mengenai potongan elaun yang diturunkan daripada RM2000 kepada RM800, Zaidatul memaklumkan dia tidak mempunyai masalah mengenai isu itu kerana turut berkhidmat di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
MSN pada Rabu lalu telah menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan.