PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri.
Menurut Met Malaysia, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di beberapa tempat di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga Isnin depan.
“Amaran Hujan Berterusan (Buruk). Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin); Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin); Melaka; Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) sehingga Isnin, 3 Januari ini.
“Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh enam jam,” katanya.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah sehingga Selasa ini.
“Amaran hujan berterusan (Waspada). Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan; Terengganu; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh); Sabah: Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga Selasa, 4 Januari.
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
“Hujan berterusan juga dijangka berlaku di Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim); Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson) dan Johor (Pontian, Kulai dan Johor Bahru) sehingga Isnin, 3 Januari,” katanya.
Terdahulu, Met Malaysia mengeluarkan amaran pada pukul 1 petang di laman Facebook rasminya, hari ini. – UTUSAN ONLINE