Hospital Umum Sarawak miliki fasiliti lebih baik rawat pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Hospital Umum Sarawak miliki fasiliti lebih baik rawat pesakit Covid-19

DOUGLAS Uggah (kiri) dan Dr. Sim Kui Hian (tengah) berbincang dengan Pengarah Hospital Umum Sarawak Dr. Ngian Hie Ung ketika lawatan ke hospital berkenaan di Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (SGH) kini memiliki fasiliti yang lebih baik dan lengkap untuk berdepan dengan kemungkinan meningkatnya kes baharu Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Negeri Sarawak menyumbang RM1.3 juta tahun lalu untuk pemasangan ventilation point di hospital berkenaan.

“Kemudahan ventilation point dan tambahan 10 katil untuk menjadikan keseluruhann 40 katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah pun siap dipasang dan boleh digunakan.

“Saya sangat gembira ia sudah siap dipasang dan digunakan. Walaupun ia kurang digunakan ketika ini memandangkan kes baharu Covid-19 di negeri ini sudah menurun, tetapi bagus kemudahan itu sudah ada di situ yang boleh digunaan seandainya kes kembali meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke SGH hari ini untuk meninjau kemudahan yang terdapat di hospital berkenaan.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri III Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Hui Kian.

Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan menyumbang geran RM1.3 juta bagi kemudahan tersebut memandangkan ketika kes Covid-19 memuncak di negeri ini kemudahan yang ada di wad ICU SGH adalah terhad.

Beliau berkata, selepas ini kerajaan akan menyumbang RM500,000 untuk pemasangan paip gas di hospital berkenaan.

“Ketika ini kes Covid-19 kita adalah rendah dan kita berharap keadaan ini akan kekal, tetapi kita akan terus mengekalkan kemudahan yang ada di SGH sebagai persiapan kita berdepan dengan segala kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hospital medan yang disediakan di Kapit sudah ditutup berikutan penurunun kes Covid-19, tetapi hospital-hospital bahagian dan daerah tetap beroperasi menerima pesakit Covid-19.

Walaupun kes baharu harian Covid-19 berada pada satu atau dua angka, beliau menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak berasa selesa, sebaliknya sentiasa berwaspada dan terus mematuhi prosidur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Mengenai kes varian Omicron, Douglas berkata,  varian itu sudah dikesan di negeri ini tetapi jangkitannya tidak serius seperti yang berlaku di Eropah dan United Kingdom.

Beliau berkata, ia mungkin kerana peratus penerima dos lengkap dan dos penggalak yang tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati mereka yang layak tetapi belum menerima dos penggalak agar segera berbuat demikian.

Beliau turut mengingatkan masyarakat Cina yang akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kita harus sama-sama ingat bahawa kita masih belum menang peperangan kita ke atas Covid-19,” tambahnya.

Sementara itu, Hui Kian berkata, beliau dimaklumkan bahawa semua hospital di negeri ini telah beroperasi seperti biasa, iaitu selain meneruskan rawatan pesakit Covid-19, hospital berkenaan turut merawat pesakit termasuk pembedahan.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, sebelum ini rawatan penyakit lain termasuk pembedahan terpaksa ditangguh untuk memberi tumpuan terhadap rawatan pesakit Covid-19.

Beliau yang juga penasihat SDMC berkata, ketika ini walaupun penggunaan katil di hospital tinggi, tetapi ia digunakan oleh pesakit biasa, bukan Covid-19.-  UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya